Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam membatalkan percutiannya ke luar negara, dan menggunakan wang tersebut untuk membantu mangsa banjir.
Beberapa minggu lalu, Syafiq Yusof menyatakan bahawa ibunya telah mengajak mereka sekeluarga bercuti di Eropah. Ini untuk mengeratkan semula hubungan mereka dengan Syamsul Yusof yang baru baru ini sudah kembali semula ke pangkuan keluarganya.
Namun perancangan itu terpaksa dibatalkan. Kerana ada perkara lain yang lebih penting pada ketika ini.
Menurut beliau, dia sekeluarga tidak sedap hati untuk bersenang senang bercuti ketika negara dilanda bencana banjir. Lebih lebih lagi rakyat di Pantai Timur, serta rakan-rakannya dan staf Skop Productions antara yang terjejas banjir sehingga ada kediaman yang ditenggelami air.
Kalau sekadar untuk bercuti dan bukan urusan penting atau urusan kerja, menurut Datuk Yusof Haslam, ianya bukan perkara penting ketika ini.
Dipetik daripada Harian Metro, Yusof Haslam berkata: “Pada ketika ini, hari-hari dalam keadaan hujan dan banjir berlaku yang menyebabkan rakyat Malaysia pun muram. Jadi, kami (sekeluarga) buat keputusan batalkan perancangan percutian. Tak pergi mana-manalah.
“Tahun lalu pun, kita dah pergi ke Jepun bercuti sekeluarga. Jadi, untuk tahun ini (bercuti) kita berehatlah. Kita tangguhkan dahulu percutian dan pada tahun depan (2025) pun kita belum fikirkan lagi, kita akan fikir kemudian nanti.”
Datuk Yusof Haslam seterusnya menyatakan bahawa: “Lebih baik duit yang ada itu disedekahkan untuk bantu mereka.”
Beliau turut mengimbas detik pada tahun 2024, di mana berlaku banjir di Kuala Krai, beliau menyertai kumpulan sukarelawan membantu mangsa di kawasan terjejas banjir.