Untuk menjadi seorang pelakon yang baik bukan sesuatu yang mudah. Tambah-tambah apabila cerita yang dibawa berasaskan kisah benar. Seorang pelakon itu perlu memahami watak dan perilakunya untuk betul-betul mendalami sisi watak yang dipegang. Bagi memahami sesuatu watak itu pula, ia perlukan pemahaman yang mendalam dan kajian yang bersifat menyeluruh.

Cabaran ini turut diakui oleh Farid Kamil apabila beliau memberitahu Sinar Harian bahawa dia terpaksa mengambil masa sebulan untuk mendalami watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempelajari cara Perdana Menteri Ke-10 itu mengangkat tangan ketika ditahan pada tahun 1998. Beliau yang membawa watak Ahli Parlimen Tambun dalam filem Anwar, The Untold Story berkata bahawa persiapan tersebut dilakukan sebaik mungkin sebelum berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk sesi penggambaran.

Baca Juga:

“Sebelum berangkat ke Jakarta, saya hanya berlatih bagaimana kedudukan tangan Anwar dan lebih kurang satu bulan berlatih untuk mengangkat tangan seperti yang kita tengok di dalam poster tersebut. Setiap pergerakan yang dilakukan ketika itu adalah persoalan yang bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pada tahun 1998? Kenapa mata bekas Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) lebam? Apakah di sebalik kejadian dan benarkah berlaku kejadian seumpamanya?” katanya ketika majlis pelancaran filem tersebut di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Selain itu, Farid juga berkata bahawa beliau diberi peluang untuk bertemu dengan Anwar Ibrahim sebanyak tiga kali. Pertemuan itu adalah bagi memahami situasi sebenar yang terjadi kepada Anwar semasa beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan ditahan oleh pihak polis. Karakter Anwar pula digarap bukan sahaja melalui pemerhatian, tetapi Farid juga membuat pembacaan terperinci seperti meneliti laporan perubatan Perdana Menteri yang didakwa ditumbuk ketika berada dalam tahanan.

Filem Anwar, The Untold Story berkisarkan perjalanan politik Anwar di Malaysia dalam memerangi rasuah. Ia akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mei depan. Set masa filem itu berdasarkan cabaran yang dihadapi Anwar dalam menangani isu rasuah di negara ini bermula dari 1993 sehingga 1998, iaitu ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan. Diolah daripada kisah benar, alur ceritanya adalah mengenai ketegasan Anwar yang konsisten menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada pihak tertentu.