Neymar nampaknya sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan namanya turut tersenarai dalam skuad kebangsaan Brazil bagi menghadapi Piala Dunia 2026.
Tidak mendapat tempat di hati Carlo Ancelotti untuk dua aksi persahabatan tempoh hari, dalam diam Neymar telah melakukan satu pembedahan lutut.
Menurut sumber laporan Marca, pemain berusia 34 tahun itu sebenarnya sudah membuat keputusan untuk menjalani pembedahan lutut selepas musim lalu Campeonato Brasileiro Serie A.
Namun kali ini dia kembali menjalani prosedur bagi rawatan regeneratif menggunakan platelet-rich plasma (PRP) untuk menguatkan tisu sendi.
Mengambil kesempatan tidak dipilih untuk aksi persahabatan bertemu Perancis dan Croatia tempoh hari, bintang Santos itu merancang jadual pembedahan secara strategik bagi mengelakkan gangguan terhadap jadual kelabnya.
Ia juga bertujuan untuk mendapatkan masa pemulihan yang berharga dalam usaha mengejar kecergasan menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia tersebut.
Neymar Tak Mengaku Kalah
Prosedur ini disahkan sendiri oleh jurulatih Santo, Cuca yang mendedahkan bahawa Neymar akan terlepas beberapa perlawanan akan datang atas sebab tersebut:
“Dia menjalani pembedahan lutut ketika rehat antarabangsa FIFA. Dia tidak berlatih. Dia mengambil beberapa hari untuk pulih daripada prosedur itu, yang merupakan perkara perubatan.”
“Dia tidak akan menyertai perjalanan minggu ini kerana menjalani program latihan khusus yang memberi tumpuan kepada kekuatan, kelajuan dan ketahanan, yang melibatkan dua sesi latihan,” tambah Cuca.
Keputusan ini bukan kebetulan, kerana beliau sedar namanya kini berada di belakang dalam perancangan Carlo Ancelotti, yang telah menegaskan hanya pemain yang benar-benar cergas 100% akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Brazil.
Dalam konteks itu, Neymar dilihat mahu menghantar mesej jelas bahawa dia masih mampu menjadi ‘game-changer’ buat pasukan.
Namun, selain isu kecederaan, kekurangan minit permainan juga boleh menjadi faktor penentu dalam keputusan Ancelotti.
Neymar tidak beraksi untuk Brazil sejak aksi kelayakan Amerika Selatan menentang Uruguay pada 17 Oktober 2023, ketika itu beliau mengalami kecederaan lutut.
Bersama Santos, Neymar setakat ini telah tampil dalam enam perlawanan dengan catatan tiga gol dan tiga bantuan jaringan.
Sementara itu, Ancelotti dijangka mengumumkan skuad akhir bagi 2026 FIFA World Cup pada 18 Mei. Tarikh yang bakal menentukan sama ada usaha Neymar ini berhasil atau sebaliknya.