Lelaki berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai “Joe” mendedahkan pengalaman ‘minggu hitam’ yang mengerikan setelah dia terjerat dan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kampong Sihanouk, Kemboja.
Tarikan bermula apabila seorang kenalan lama yang pernah memberikannya pekerjaan di Johor Bahru menawarkan posisi pembakar sate dengan gaji USD 1,500 sebulan.

Tawaran itu disokong pula dengan jaminan kos perjalanan, tiket penerbangan, penginapan dan wang poket yang akan ditanggung sepenuhnya dipetik dari Sinar Harian.
Sebaik tiba di Kemboja pada hari raya keenam iaitu pada 5 April, mimpi ngeri Joe bermula. Dari hotel, dia terus dibawa ke ‘Markas Scammer’ di Sihanouk yang berkawal ketat. Di situlah dia dipaksa menyedari kerja sebenar: dijadikan ‘scammer’, setelah diberi minuman yang disyaki dadah.
Sepanjang penahanan empat bulan, mangsa diseksa dengan kejam, termasuk renjatan elektrik, kerana gagal mencapai sasaran ‘scam’. Rutin harian adalah bekerja 14 jam (10 pagi hingga 12 malam) dengan hanya sekali makan. Dalam cubaan melarikan diri, Joe dan empat mangsa lain ditangkap dan diancam dipindahkan ke sempadan Laos, bakal dijadikan buruh paksa atau pengemis oleh sindiket tersebut.
“Kawan saya ada menghubungi saya dan minta maaf. Dia suruh saya buat apa yang syarikat (scammer) minta. Kawan saya cakap dia dapat komisen AS$2,000 (RM8,400) untuk seorang mangsa”, luahan Joe bagaimana rakannya sanggup menjualnya demi meraih wang mudah.
Di bawah ancaman seksaan, renjatan elektrik, dan kurungan tanpa makanan, Joe dipaksa menjana sasaran jualan bulanan antara RM50,000 hingga RM100,000. Beliau turut mendedahkan bahawa beliau hanyalah salah seorang daripada lebih 40 rakyat Malaysia yang diperhambakan di pusat tersebut, bersama-sama dengan tawanan lain dari Rusia, Brazil, dan negara Arab.
“Mereka beri kami makan daging babi, arak, dan kehidupan di sana sangat bebas. Tiada pilihan selain patuh arahan,” katanya.
Detik penyelamat tiba apabila Joe dan empat rakyat Malaysia lain dijadualkan dipindahkan ke sempadan Laos. Mereka menggunakan peluang ini untuk menghubungi ADUN Skudai, Marina Ibrahim, dan berjaya diselamatkan serta diterbangkan pulang ke Malaysia pada 16 Ogos.
Walaupun selamat, Joe masih trauma kerana terpaksa berhadapan dengan saat-saat penentuan hidup atau mati sepanjang berada di sana.