Pada 1 Oktober baru-baru ini, pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) telah bermula ke atas kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.
Bagaimanapun, didapati jumlah kenderaan dari negara jiran menurun ekoran pelaksanaan tersebut, petik New Straits Times.

Baca Juga:
- Kenderaan Asing Dari Singapura Wajib Ada Permit Masuk Malaysia Mulai 1 Oktober
- Jauh Kalahkan Malaysia, Purata Rakyat Singapura Ada Aset Kewangan RM800,000
- ‘Ringgit Semakin Kuat, 1 SGD Bakal Jadi RM2.90 Tak Lama Lagi’ – Pakar Singapura
Terbaharu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun penurunan dalam kemasukan kenderaan diperhatikan dalam dua hari pertama penguatkuasaan VEP, aliran trafik kembali pulih selepas Malaysia memberi jaminan kepada pemandu Singapura bahawa denda tidak akan dikenakan serta-merta.
“Laporan harian menunjukkan jumlah kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia melalui laluan darat di Tambak Johor dan LINKEDUA telah kembali ke paras normal berikutan jaminan penguatkuasaan termasuk denda tidak akan dikenakan serta-merta,” kata Loke.
Beliau berkata penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan notis amaran terlebih dahulu dikeluarkan kepada mereka yang tidak mendaftar untuk VEP.
Kementerian itu menyediakan lebih banyak masa kepada pemilik kenderaan Singapura untuk mematuhi pendaftaran dan pemasangan tag pengenalan frekuensi radio (RFID).
“Kami akan memberi lebih masa untuk pendaftaran sebelum mengambil tindakan, yang akan diumumkan kemudian,” tambahnya.
Memetik laporan NST lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengeluarkan 112,658 tag VEP RFID kepada kenderaan persendirian dan komersial yang berdaftar di Singapura setakat 30 September lalu.
Daripada jumlah ini, 75,412 tag telah diaktifkan, manakala 37,246 kekal tidak aktif.
Loke memberi jaminan bahawa pada masa ini tiada tarikh akhir yang ditetapkan untuk penguatkuasaan penuh, menggesa pemilik kenderaan Singapura untuk mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP mereka untuk mengelakkan komplikasi apabila memasuki atau keluar dari Malaysia.
“Kami bekerjasama dengan vendor untuk menambah bilangan tempat pendaftaran bagi memudahkan proses dan mengelakkan kesesakan,” kata Loke.
Beliau menambah bahawa lokasi pendaftaran tidak boleh disediakan di Singapura kerana isu bidang kuasa, tetapi vendor boleh mencari penyelesaian mereka sendiri.