Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermula 1 Oktober akan datang.
Peraturan itu akan dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura, petik Berita Harian.
Baca Juga:
- Kes COVID-19 Di Singapura Meningkat Dua Kali Ganda, KKM Pantau Kemungkinan Gelombang Baharu
- Rakyat Malaysia Ditahan Di Singapura, Dituduh Curi Kad Pokemon Bernilai RM1,600
- Pemandu Singapura Dinasihat Papar Papan Tanda ‘Jangan Mencuri’ Bila Memandu Di Malaysia
Beliau berkata, penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.
“Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum memasuki Malaysia atau semasa berada di negara ini adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333,” katanya hari ini.
Oleh sebab itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing tanpa VEP memasuki Malaysia.
Kenderaan Singapura juga boleh dihalang daripada meninggalkan Malaysia jika terdapat perkara tidak dapat diselesaikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66J Akta 333.
“Ini bermakna jika mereka melakukan kesalahan jalan raya atau mempunyai saman tertunggak, mereka perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan negara ini,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, proses mendapatkan VEP juga dipermudahkan dengan tag RFID VEP akan dihantar ke rumah selepas permohonan dilakukan tanpa perlu datang ke Johor untuk mengambil tag masing-masing.
Bayaran RM10 dikenakan bagi setiap tag VEP yang mana ia sah selama lima tahun — jadi pemilik kenderaan Singapura mempunyai pilihan utnuk perbaharui VEP yang sudah tamat tempoh atau lengkapkan proses pendaftaran bagi mendapatkan kenderaan VEP masing-masing.
“Mengikut rekod, hanya kira-kira 70,000 kenderaan bermotor berdaftar Singapura yang telah mendaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan bermotor yang mendaftar tetapi belum menyelesaikan proses pemasangan dan pengaktifan tag VEP mereka.
“Saya juga telah berkomunikasi dengan rakan sejawatan saya dari Singapura mengenai perkara ini,” katanya.
Ditanya mengenai kelewatan penguatkuasaan sepenuhnya VEP, Loke berkata banyak isu teknikal apabila sistem itu dibina pada 2019, selain faktor COVID-19 juga menghalang perjalanan sempadan.