Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) enggan menandatangani surat yang menyokong pemilihan semula Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Keputusan ini menyerlahkan ketegangan yang semakin memuncak antara badan pentadbir bola sepak Eropah dan organisasi global itu.
Menurut sumber laporan Goal, keadaan tersebut diburukkan lagi oleh keputusan disiplin yang mencetuskan kontroversi serta campur tangan politik luar pada Piala Dunia 2026.
Presiden badan induk bola sepak Jerman, Bernd Neuendorf dilaporkan semakin menjauhkan diri daripada Presiden FIFA yang sering mencetuskan kontroversi sejak kebelakangan ini.
DFB Berkeras
Goal mendedahkan bahawa Neuendorf enggan menandatangani dokumen yang menyatakan sokongan terhadap pencalonan semula Infantino pada Kongres FIFA yang akan berlangsung di Rabat pada 18 Mac 2027.
“DFB tidak menandatangani surat sokongan bagi pemilihan semula Gianni Infantino,” kata badan induk itu, sambil menambah: “Langkah-langkah seterusnya akan dibincangkan dalam lembaga presiden DFB.”
Perbezaan pendirian antara DFB, UEFA dan FIFA semakin memuncak susulan kes melibatkan Folarin Balogun. UEFA mengkritik keras tindakan FIFA dengan menyatakan bahawa satu ‘garis merah’ telah dilanggar. Neuendorf turut menegaskan bahawa, “Proses ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.”
Kontroversi itu tercetus apabila Balogun dibenarkan beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terbaik menentang Belgium, yang menyaksikan AS tewas 4-1 walaupun beliau sebelum itu dilayangkan kad merah dalam kemenangan 2-0 ke atas Bosnia dan Herzegovina.
Jawatankuasa Disiplin FIFA membatalkan penggantungan tersebut selepas Donald Trump dilaporkan menghubungi Gianni Infantino untuk meminta semakan dibuat.
Bagaimanapun, kedua-dua Jawatankuasa Disiplin dan Infantino menegaskan bahawa keputusan akhir itu tidak dipengaruhi oleh sebarang campur tangan pihak luar.