Datin Seri Rosmah Mansor secara rasmi telah memfailkan saman terhadap pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander.

Tindakan undang-undang ini diambil susulan dakwaan bahawa Harith telah menghina rupa paras dan fizikal isteri bekas perdana menteri itu dalam salah satu persembahan komedi bersirinya pada Januari lalu.

Tuntutan saman yang difailkan pada 9 Jun lalu memperincikan insiden yang berlaku ketika persembahan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka. Rosmah, 75, mendakwa Harith telah memaparkan imej makhluk halus sebelum menayangkan gambar beliau kepada penonton yang hadir.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rosmah menjelaskan bahawa sebelum gambar itu dipaparkan, Harith memberitahu penonton bahawa sesiapa yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan yang gelap akan ‘melihat sesuatu yang menakutkan’.

Baginya, tindakan tersebut jelas mengaitkan dirinya dengan makhluk halus dan merupakan satu penghinaan fizikal yang disengajakan.

“Kenyataan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik saya, selain bertujuan mengaibkan saya melalui penghinaan bentuk fizikal (body shaming),” kata Rosmah dalam pernyataan lapor Harian Metro.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Harith menjadikannya sebagai bahan jenaka di atas pentas adalah satu perkara yang tidak wajar.

“Perbandingan ini serius kerana ia tidak dibuat dalam konteks neutral atau dalam perbincangan biasa, sebaliknya ketika persembahan komedi di hadapan penonton secara langsung bagi meraih gelak tawa dan hiburan daripada orang ramai,” tambahnya lagi.

Isu ini menjadi lebih parah apabila persembahan tersebut mula tular di aplikasi TikTok melalui akaun @mayychan0303.

Pengguna tersebut telah memuat naik dua rakaman video persembahan berkenaan di mana video pertama meraih 219,700 tontonan, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan.

Rosmah menyatakan penularan video tersebut telah merosakkan reputasi, maruah, dan nama baiknya sebagai seorang figura awam, isteri bekas Perdana Menteri, serta penaung kepada pelbagai badan amal yang pernah menerima pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Melalui tuntutan yang dibuat oleh Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk, dan teladan.

Beliau juga menuntut perintah injunksi bagi menghalang Harith daripada terus menyebarkan kenyataan fitnah tersebut, selain menuntut permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis yang diterbitkan dalam dua akhbar arus perdana serta akaun media sosial.

Walau bagaimanapun, Harith Iskander, 60, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa persembahan komedinya itu membawa maksud fitnah atau bertujuan menggambarkan Rosmah sebagai makhluk yang menyeramkan, hodoh, atau menjijikkan.

Dalam penyataan pembelaannya, Harith menegaskan bahawa penularan video di TikTok tersebut adalah di luar kawalannya dan tidak memaparkan situasi sebenar persembahannya.

“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” jelas Harith.

Barisan peguam yang mewakili Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Nur-Diana Ezlyn Hashim, bersama peguam Harith Iskander, Sangeet Kaur Deo, masing-masing telah mengesahkan pemfailan kes ini. Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada 31 Julai ini.