Sepasang suami isteri warga emas ditahan polis selepas disyaki sengaja melanggar lari seorang pemandu lori dalam kejadian di Bandar Teknologi Kajang di sini, pada Jumaat lalu.
Memetik Harian Metro, dua individu, masing-masing berusia 73 dan 65 tahun itu ditahan pada 11.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada wanita berusia 63 tahun yang juga ibu mangsa pada 4.54 petang semalam.
“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa anak lelaki berusia 42 tahun dilanggar sebuah kenderaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan tidak boleh bergerak.
“Pengadu kemudian terus ke lokasi kejadian di kawasan berhampiran Bandar Teknologi Kajang dan membawa anak lelakinya ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TRIGGER WARNING
😱 pic.twitter.com/iCN19DLCiJ
— @ (@anthraxxx781) March 2, 2025
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berdekatan, bagi membantu siasatan.