Polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang diberkas di sebuah hotel di Jalan Ampang, lapor Buletin TV3.
Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, jam 7.15 malam tadi.
Baca Juga:
- Polis Tahan Lelaki Disyaki Ejen Perisik Negara Haram Dengan 6 Pucuk Senjata Api
- ‘Berambus Kau Wanita Zionis, Mulut Bau Bangkai’ – Mia Khalifa Gaduh Dengan Geng Mak-Mak Israel
- Pekerja Mengamuk Selepas Google Setuju ‘Sponsor’ Israel
Sebaik ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor, sebelum menemui sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz milik mereka.
Difahamkan pasangan terbabit akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.
Pada masa sama, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki warga Israel terbabit memasuki negara ini, serta tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.
Terdahulu, seorang suspek warga Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.
Hasil soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga.
Bagaimanapun polis tidak mempercayai dakwaan itu.