Legenda bola sepak Uruguay, Diego Forlan nampaknya sudah semakin serius dalam beralih ke sukan baharu apabila beliau kini bergelar pemain tenis profesional.
Sudah menjengah usia 45 tahun, Forlan akan membuat penampilan sulungnya di Terbuka Uruguay yang juga merupakan salah satu kejohanan bagi siri Jelajah ATP (Persatuan Tenis Profesional) pada 11 November nanti.
Baca Juga:
- Rafael Nadal Umum Persaraan Daripada Tenis Profesional
- Ronaldo Bosan Dengan Aksi Brazil, Akui ‘Lebih Suka Menonton Tenis Berbanding Bola Sepak’
- Rafael Nadal: Legenda Tenis Yang Hampir Jadi Pemain Bola Sepak
Difahamkan beliau akan bergandingan dengan pemain kelahiran Argentina, Federico Coria dalam acara beregu.
Beliau yang menjaringkan 36 gol Uruguay dan bermain bersama kelab-kelab ternama seperti Manchester United, Atletico Madrid, Inter Milan dan Villarreal telah diberikan kelayakan ‘wildcard’ untuk menyertai kejohanan tersebut.
Forlan sebelum ini pernah menyertai kejohanan dalam sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) bagi umur melebihi 30 tahun dimana beliau menghuni ranking ke-744 (bagi kategori 40 tahun ke atas dan ke-108 (daripada 2000 pemain) untuk kategori 45 tahun keatas.
Pada tahun 2024, Diego Forlan sudah bermain sebanyak 11 perlawanan dan beliau menang lapan daripada aksi tersebut. Kesemua 11 perlawanan itu berlangsung di gelanggang tanah liat.
Manakala bagi pasangannya, Coria pula kini menduduki ranking ke-101 dalam ranking ATP.
Tenis nyata bukanlah perkara asing buat Forland kerana beliau sudah didedahkan dengan sukan raket tersebut sejak daripada kecil.
“Saya tidak mengatakan bahawa saya adalah seorang pemain tenis yang bagus, tetapi jika anda melihat saya bermain tenis pada masa kini anda akan melihat saya sebagai pemain tenis, bukannya bekas pemain bola sepak,” ujar Forlan menurut sumber New York Times.