Legenda bola sepak Uruguay, Diego Forlan sudah merealisasikan impiannya sejak kecil untuk beraksi di pentas tenis profesional.
Pada usia 45 tahun, bekas penyerang Manchester United, Atletico Madrid, Inter Milan, Villarreal, skuad kebangsaan Uruguay itu membuat penampilan sulung dalam saingan ATP Terbuka Uruguay dengan kelayakan ‘wildcard’.
Baca Juga:
- Diego Forlan Bergelar Pemain Tenis Profesional Pada Usia 45 Tahun
- Rafael Nadal Umum Persaraan Daripada Tenis Profesional
- Rafael Nadal: Legenda Tenis Yang Hampir Jadi Pemain Bola Sepak
Terbuka Uruguay merupakan salah satu pertandingan dalam kalendar siri Jelajah ATP (Persatuan Tenis Profesional).
Berpasangan dengan pemain Argentina, Federico Coria, mereka bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan gandingan Bolivia, Boris Arias dan Federico Zeballos dengan kekalahan 1-6, 2-6 dalam tempoh 47 minit.
Meskipun tewas, aksi dipamerkan Forlan boleh dibanggakan walaupun beliau dilihat masih belum dapat menyesuaikan diri dengan baik beraksi di pentas lebih tinggi.
Mengulas mengenai penampilan pertamanya di pentas tenis profesional, Forlan jelas teruja dapat beraksi dalam saingan Terbuka Uruguay.
“Saya sangat menikmatinya. Saya tahu bahawa kemungkinan ia menjadi perlawanan yang sukar untuk kami adalah sangat tinggi. Saya gembira.”
“Ia tidak mudah sama sekali. Saya bermain di perlawanan pertunjukan pada 2017 dan 2018 dan saya tidak mempunyai pengalaman seperti dirasai hari ini,” ujar Diego Forlan menurut sumber laporan Reuters.
Forlan sebelum ini pernah menyertai kejohanan dalam sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) bagi umur melebihi 30 tahun dimana beliau menghuni ranking ke-744 (bagi kategori 40 tahun ke atas dan ke-108 (daripada 2000 pemain) untuk kategori 45 tahun keatas.
Pada tahun 2024, Diego Forlan sudah bermain sebanyak 11 perlawanan dan beliau menang lapan daripada aksi tersebut. Kesemua 11 perlawanan itu berlangsung di gelanggang tanah liat.