Pada awal minggu lalu seorang pemilik rumah mendedahkan beliau telah diacukan parang oleh penyewa yang juga seorang penyanyi terkenal 90-an, To’Ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur, 58, yang telah tertunggak bayaran sewa sekian lama.

Memetik Harian Metro, menerusi temubual dalam program Melodi semalam, To’Ki berkata beliau berbuat sedemikian selepas dihina sebagai pengemis dan diganggu dengan kehadiran pemilik rumah secara berkumpulan pada waktu tengah malam untuk menghalaunya keluar dari rumah sewa itu.

Baca Juga:

“Bayangkan apabila tuan rumah datang jam 12 tengah malam bawa orang ramai depan rumah memanggil saya pengemis. Kenapa cakap macam tu?

“Saya mesti lindungi keluarga saya, ibu mentua saya kena ‘stroke‘ (angin ahmar) dah dua tahun. Kalau tengah malam datang nak halau saya sampai bawa enam ke lapan orang, jadi untuk lindungi diri saya ambil parang,” kata To’Ki.

To’Ki turut mendedahkan punca bayaran sewa tertunggak selama dua bulan disebabkan dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga ibu mentuanya yang sakit.

“Setiap manusia ada jatuh dan bangun. Sebelum ini kan bayar, cuma dua bulan terakhir ini tak bayar sewa. Ini kerana saya perlu menjaga mentua dan termasuk keadaan ekonomi tidak menentu.

“Saya bukan tak nak bayar, cuma salahnya emosi. Bila (pemilik rumah) datang, bawa orang ramai, disebut pula pengemis. Kenapa orang itu bercakap seperti itu?

“Saya mesti melindungi keluarga saya. Mak mentua saya mengalami stroke dan kemudian isteri. Jadi kalau semalam datang nak halau saya, enam hingga lapan orang ni macam mana? Jam 4 pagi pun pernah telefon, mesej di WhatsApp ugut dan menghina, kalau To’ki lambat bayar, saya akan viralkan,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi itu turut menafikan dakwaan bil elektrik yang mencecah RM7,000. Namun, dia mengakui bil elektrik melambung tinggi kerana penggunaan pendingin hawa.

To’ki berkata, dia masih mengambil upah menyanyi di sebuah restoran, namun ia tidak seberapa.

Selain menanggung keluarga dan mentua yang sakit, To’ki juga menanggung dua anak dengan bekas isteri yang masih bersekolah dan menuntut di universiti.

Pada masa sama, To’Ki juga menafikan dakwaan dia membuang sampah merata-rata. Menurutnya, ada seorang jiran yang memang tidak suka dengan kehadirannya di kawasan itu.

“Saya tidak tahu apa masalah manusia ini. Ada seorang jiran ini, saya dah banyak kali cuba buat baik dengannya tapi dia masih tak suka saya.

“Mula-mula saya datang duduk lebih kurang seminggu. Bila dia cakap kalau tak sesuai duduk sini, boleh balik ke hutan. Tak apalah, saya abaikan saja,”

“Bukan nak kata saya sombong, saya pun manusia juga. Kita bukan anak orang kaya, kita cuma orang seni yang biasa,” katanya.

To’ki bersyukur apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantunya menyelesaikan tunggakan sewa selain mencari kediaman baharu buatnya.

“Ada hikmah walaupun dimalukan sebegini. Saya tahu kalau orang aniaya, Allah nak angkat darjat kita. MAIWP bantu saya nak carikan rumah,” katanya.

Sumber