Ada berita gembira buat ‘kaki travel’ dan seluruh rakyat Malaysia! Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasmi melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu.
Bukan sekadar tampil dengan reka bentuk yang lebih segar, dokumen perjalanan terbaharu negara ini hadir dengan 94 ciri keselamatan canggih bagi memastikan data dan keselamatan dokumen rakyat Malaysia kekal berada pada tahap tertinggi lapor NST.
Majlis pelancaran gimik tersebut telah diadakan di Lobi Parlimen, di mana Perdana Menteri menerima PMA baharu daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lebih Fleksibel: Pilihan Sah Laku 5 atau 10 Tahun
Mulai 1 Julai ini, warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas bakal menikmati fleksibiliti luar biasa. Anda kini mempunyai pilihan untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku sama ada selama lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan peribadi.
Pengenalan pasport 10 tahun ini merupakan satu transformasi penting oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Selain memudahkan urusan perjalanan pergi balik ke luar negara, ia juga secara langsung mengurangkan kekerapan rakyat untuk memperbaharu pasport, sekali gus menjimatkan masa berharga anda.
Struktur Bayaran: Lebih Lama, Lebih Jimat!
Satu perkara yang pasti menarik perhatian ramai adalah kadar bayaran yang diumumkan. Bagi anda yang memilih pasport jangka panjang, KDN menawarkan nilai pulangan wang yang lebih berbaloi.
Berikut adalah perincian struktur bayaran PMA versi baharu:
Mengenai struktur kadar bayaran, Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu ini menawarkan dua pilihan tempoh sah laku yang fleksibel untuk pemohon.
Bagi tempoh sah laku selama 5 tahun, kadar harganya adalah kekal sama iaitu sebanyak RM200. Manakala untuk tempoh sah laku selama 10 tahun pula, kadar bayaran yang ditetapkan adalah sebanyak RM350.
Menariknya, pengenalan pasport 10 tahun ini memberikan penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding jika mereka perlu memperbaharu pasport bagi tempoh 5 tahun sebanyak dua kali.
Pengukuhan Data & Prestasi di Peringkat Global
Langkah proaktif ini seiring dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri pada awal tahun ini mengenai pengenalan pasport dan MyKad berwajah baharu demi memperkasakan keselamatan data negara.
Untuk rekod, Pasport Malaysia Antarabangsa merupakan antara dokumen perjalanan yang paling dihormati di dunia. Berdasarkan Passport Index tahun 2025, pasport Malaysia berada di tangga ketiga sebagai pasport paling berkuasa di dunia.
Dengan penambahan 94 ciri keselamatan baharu ini, kredibiliti dan kedudukan pasport negara kita di peringkat global pastinya akan menjadi lebih kukuh dan disegani.
Jangan Kelentang-Kelentung, Tiada Keperluan Untuk Berebut!
Bagi memastikan sistem operasi di pejabat imigresen berjalan lancar tanpa gangguan, pelaksanaan PMA struktur baharu ini akan dijalankan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara bermula Julai ini.
Sehubungan itu, KDN menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa ke pejabat imigresen untuk menukar pasport sedia ada. Sekiranya pasport lama anda masih sah laku (sehingga enam bulan sebelum tempoh tamat), ia masih boleh digunakan sepenuhnya untuk sebarang urusan perjalanan antarabangsa. Jom rancang perjalanan anda dengan bijak!