Pemain pertahanan negara, Dion Cools menegaskan beliau belum bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan mempunyai hasrat untuk beraksi di liga terbaik Asia pada masa akan datang.
Dion berkata demikian kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana beliau menegaskan masih mempunyai kontrak bersama kelab Thailand, Buriram United dan akan melihat perjalanan kariernya selepas kontraknya tamat.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Dion Cools Ada Ramuan Sekat Korea Selatan
- Ini Sebab Dion Cools Pilih Harimau Malaya Berbanding Belgium
- Terlibat Pergaduhan, Dion Cools Terlepas Hukuman Dari AFC
“Saya belum bersedia untuk pulang ke Malaysia buat masa sekarang. Kemungkinan sentiasa ada tetapi sekarang saya masih komited bersama Buriram United di Thailand. Kita tunggu sahaja apa akan terjadi di masa hadapan.
Dion Cools beri bayangan sertai skuad Harimau Selatan??#Nadiarena #Astroarena pic.twitter.com/FzM7SEUawY
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 30, 2024
“Saya sentiasa memberitahu isteri saya bahawa saya suka berada di Asia namun saya juga terlintas di fikiran untuk meneroka budaya lain seperti Jepun atau Korea suatu hari nanti,” katanya.
Bekas pemain Club Brugge dan FC Midtjylland itu menjadi watak penting buat pasukan negara dimana beliau membantu Malaysia layak secara merit ke temasya Piala Asia 2023 di Qatar selain dipilih sebagai ketua pasukan dalam beberapa perlawanan.
Sebelum ini, Dion Cools mendedahkan mengapa beliau memutuskan untuk menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa walaupun berpotensi mewakili skuad Belgium.
Menurut kenyataannya dalam FIFA.com, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) adalah individu yang telah membuka hatinya untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya menerusi satu panggilan telefon.
“Terdapat satu panggilan telefon daripada TMJ sendiri. Baginda menjelaskan cuba untuk membangkitkan semula pasukan kebangsaan kerana skuad Harimau Malaya masih berada di kancah bawahan ketika itu.
“Ternyata ia bukanlah satu keputusan yang sukar kerana memang saya mahu bermain untuk Malaysia. Saya agak tertarik dengan penjelasan TMJ, itulah saat saya beritahu kepada baginda ‘OK’, sekarang saya akan mewakili Malaysia’,” jelas Cools.
Ketika berusia 24 tahun, Cools pernah dipanggil mewakili pasukan Belgium B-21 namun agak sukar menembusi skuad senior negara itu.
“Ketika itu, saya selalu memberitahu ibu dan bapa saya bahawa bermain di Belgium bukan mudah dan sukar untuk dilakukan. Sudah tentu perbezaan kedudukan antara Belgium dan Malaysia boleh dilihat sendiri seperti Belgium pernah menjadi pasukan nombor satu dunia.
“Namun rasa cinta terhadap bola sepak Malaysia, peminat dan negara sebenarnya lebih mendalam,” katanya.