Pemain kacukan negara, Dion Cools mendedahkan sebab sebenar beliau memilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa walaupun berpotensi mewakili skuad Belgium.

Menurut kenyataannya dalam FIFA.com, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) adalah individu yang telah membuka hatinya untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya menerusi satu panggilan telefon.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Terdapat satu panggilan telefon daripada TMJ sendiri. Baginda menjelaskan cuba untuk membangkitkan semula pasukan kebangsaan kerana skuad Harimau Malaya masih berada di kancah bawahan ketika itu.

“Ternyata ia bukanlah satu keputusan yang sukar kerana memang saya mahu bermain untuk Malaysia.

“Saya agak tertarik dengan penjelasan TMJ, itulah saat saya beritahu kepada baginda ‘OK’, sekarang saya akan mewakili Malaysia’,” jelas Cools.

Ketika berusia 24 tahun, Cools pernah dipanggil mewakili pasukan Belgium B-21 namun agak sukar menembusi skuad senior negara itu.

“Ketika itu, saya selalu memberitahu ibu dan bapa saya bahawa bermain di Belgium bukan mudah dan sukar untuk dilakukan.

“Sudah tentu perbezaan kedudukan antara Belgium dan Malaysia boleh dilihat sendiri seperti Belgium pernah menjadi pasukan nombor satu dunia.

“Namun rasa cinta terhadap bola sepak Malaysia, peminat dan negara sebenarnya lebih mendalam,” katanya yang kini berada di Qatar bersama skuad Harimau Malaya di saingan Piala Asia 2023.

Berdasarkan rekod, Cools memiliki 23 penampilan bersama skuad Malaysia sejak 2021. Beliau juga meledak 4 gol dan turut membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit buat pertama kalinya selepas 43 tahun.