Pemain pertahanan negara, Dion Cools menjaringkan gol pertamanya bersama Buriram United dalam aksi Thai League 1 menentang Trat FC baru-baru ini.

Dion kembali beraksi dengan kelab Thailand itu selepas diberi rehat ekoran beliau terlibat dalam tugasan antarabangsa bersama Malaysia di temasya Piala Asia 2023 Qatar.

Baca Juga:

Ketua jurulatih Buriram, Arthur Papas meletakkan Dion dalam kesebelasan utama namun beliau meletakkan pemain itu di posisi sayap, berbeza dengan posisi biasa iaitu pemain pertahanan.

Pemain berusia 27 tahun itu tidak mengambil masa yang lama untuk membuka tirai jaringan dimana beliau mencip gol ketika perlawanan baru memasuki minit keempat.

Meskipun Trat mempamerkan kebangkitan, namun Buriram berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-3 menerusi jaringan tambahan dari Goran Čaušić dan Guilherme Bissoli.

Sebelum ini, Dion Cools menegaskan beliau belum bersedia untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan mempunyai hasrat untuk beraksi di liga terbaik Asia pada masa akan datang.

Dion berkata demikian kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana beliau menegaskan masih mempunyai kontrak bersama Buriram United dan akan melihat perjalanan kariernya selepas kontraknya tamat.

“Saya belum bersedia untuk pulang ke Malaysia buat masa sekarang. Kemungkinan sentiasa ada tetapi sekarang saya masih komited bersama Buriram United di Thailand. Kita tunggu sahaja apa akan terjadi di masa hadapan.

“Saya sentiasa memberitahu isteri saya bahawa saya suka berada di Asia namun saya juga terlintas di fikiran untuk meneroka budaya lain seperti Jepun atau Korea suatu hari nanti,” katanya.