PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), telah menjalin kerjasama strategik bersama tiga pengendali pengecasan (CPO) utama — DC Handal, JomCharge, dan chargEV — untuk memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.
Inisiatif yang dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun 2026 ini akan menumpukan pada lokasi awam yang strategik dan tumpuan ramai.
Melalui kolaborasi ini, pemilik e.MAS yang membuat pembayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS bakal menikmati kadar pengecasan berdiskaun di stesen-stesen yang terlibat.
Sebagai jenama EV No. 1 di Malaysia, Proton e.MAS kini menyediakan akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan (merangkumi lebih 90% kawasan di Malaysia) menerusi aplikasinya, disokong oleh Peta Pengecasan Langsung Terintegrasi (Integrated Live Charging Map) pada kenderaan.
Selain meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengecasan pengguna, langkah ini turut menyokong agenda Kerajaan untuk memperkasakan ekosistem EV tempatan menerusi penyertaan vendor dan penggiat industri tempatan.
“Tatkala lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik, kemudahan pengecasan yang praktikal dan mudah diakses akan menjadi bahagian yang semakin penting dalam pengalaman pemilikan kenderaan.
“Menerusi kolaborasi bersama CPO terkemuka ini, kami mahu menjadikan proses pengecasan lebih berbaloi buat pemilik e.MAS serta memberi mereka akses pengecasan yang lebih luas di lokasi-lokasi utama.
“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan PRO-NET, rakan pengecasan kami, dan ekosistem digital e.MAS bagi menyokong pelanggan kami seiring dengan pertumbuhan kadar penggunaan EV di Malaysia,” kata Encik Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.