Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan Malaysia di tangan Oman dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.
Dua kekalahan di tempat lawan dan laman sendiri amat memeritkan bagi Pan-gon dan beliau berpendapat kekurangan minit permainan di kalangan pemain menjadi salah satu punca mengapa pasukan negara gagal meraih kemenangan.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Akui Malaysia Perlu Keajaiban Untuk Layak Ke Piala Dunia 2026
- Kim Pan Gon Tuntut Janji Kontraktor Beri Padang Yang Terbaik
- Kim Pan Gon Mahu Kaji Semula Corak Permainan Harimau Malaya
Apabila bercakap mengenai minit permainan, perkara ini berkait rapat dengan saingan liga dan seperti sedia maklum, Liga Malaysia akan bermula pada bulan Mei ini.
Saingan liga yang bermula lambat menjadi salah satu faktor mengapa pemain dilihat ‘lemau’ dalam dua perlawanan menentang Oman sekaligus menyebabkan skuad kebangsaan mengalami kekalahan.
Ketika sidang media selepas perlawanan, wartawan bertanya kepada Pan-gon sama ada keputusan MFL untuk memulakan saingan liga pada Mei tidak membantu perjalanan pasukan negara.
Akan tetapi, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu lebih memilih untuk tidak menjawap soalan tersebut.
“Lebih baik saya tidak menjawap soalan itu,” kata Kim Pan-gon.
Dalam masa yang sama, Pan-gon turut enggan memberi komen mengenai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Saya boleh bercakap (mengenai padang), tetapi lebih baik saya tidak ulas. Ini perlawanan yang sangat sukar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
“Pertama, saya sebagai ketua, sebagai jurulatih, mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat beri anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga dalam Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Kyrgyzstan yang membelasah Taiwan 5-1 naik kedudukan teratas dan berkongsi sembilan mata bersama Oman yang menghuni tangga kedua.