Pelakon terkenal, Nabila Huda baru-baru ini menerusi platform X mendedahkan bahawa beliau telah menerima ugutan dari seorang individu yang dipercayai berasal dari Indonesia.

Menerusi hantaran tersebut, Nabila berkongsikan satu tangkap layar hantaran individu itu yang mendakwa Nabila telah mencuri budaya Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Nabila Huda adalah ‘claimer’ nombor satu, pencuri budaya Indonesia,” tulis di kapsyennya.

Tidak hanya melemparkan dakwaan sebegitu rupa, individu itu turut membuat ugutan untuk menculik anak pelakon berkenaan.

“Saya akan culik anak awak kalau masih claim tentang budaya Indonesia,” tegas individu itu yang mengancam mahu menculik jika nabila huda masih mencuri budaya Indonesia.

Nabila kemudiannya meminta pengikutnya untuk memberikan respon dan membalas hantaran individu tersebut. Namun, didapati akaun milik individu terbabit sudah pun ditukar ke akaun peribadi.

Difahamkan dakwaan berkenaan berkait dengan isu baju kebaya sebelum ini. Sementara itu, netizen menasihati Nabila supaya membuat laporan polis berhubung ugutan itu lebih-lebih lagi apabila ugutan melibatkan anaknya.

Seperti yang kita tahu, kebelakangan ini beliau kerap menggayakan baju kebaya tradisional atas tuntutan dan promosi kerja.

Malah, Nabila turut terlibat sebagai pelakon dalam pementasan teater baru-baru ini membawa watak Nyai Sunarti dan memakai pakaian tradisional.