Penyanyi atau pemenang Gegar Vaganza musim ke-6, Naqiu daripada kumpulan lelaki Boboy menafikan tuduhan mengambil bahan terlarang disebabkan saiz badannya yang kecil itu.

Menurut Harian Metro, Naqiu mengatakan dia sudah lama berhadapan dengan tuduhan sebegitu sejak berpuluh tahun lagi.

Baca Juga:

“Sebenarnya saya dah hadap perkara macam ni dan berpuluh tahun. Kepada orang yang bercakap begini, topik sampah ini, semak balik pernah ke tak fizikal saya naik atau badan saya mengembang lebih daripada saiz sekarang sebelum ini?” katanya.

Dia juga berkata dia sudah ada dalam industri muzik dari umur 15 tahun, semasa dia menyepi pada tahun 2008 dan bila dia kembali dia tetap mempunyai saiz badan yang sama juga.

Sementara itu, Naqiu memaklumkan sudah banyak kali dia ditahan polis kerana mempunyai fizikal yang kurus malah membuat ujian air kencing setiap kali ada roadblock.

“Semua orang yang kurus ambil barang ke macam mana? Saya tak faham, sepanjang kehidupan saya banyak kali bila ‘road block’, berapa kali dah saya kena buat ujian air kencing tetapi mereka hanya jalankan tugas, tak apa. Yang anda ni kenapa pulak? Orang kurus je hisap dadah, bila orang berbadan besar anda kutuk pula, anda nak apa sebenarnya?” katanya.

Naqiu berasa kesal dengan kenyataan individu yang menuduhnya dan mencabar sesiapa yang membuat tuduhan berdepan dengannya untuk membawa ujian air kencing sebagai bukti dia memang tidak mengambil bahan terlarang itu.

“Saya cabar orang yang cakap tu, kau datang jumpa aku, kau ‘urine’ (ujian air kencing) aku. Kalau tak ‘sangkut’, kau siap,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut mendoakan kepada sesiapa yang membuat tuduhan seperti itu tidak akan terkena dengan diri mereka ataupun pada keluarga mereka.

Bahkan, dia berterima kasih banyak dengan tuduhan yang dilemparkan padanya itu dan menegaskan kepada individu menuduhnya untuk datang berjumpa membuat ujian air kencing dengannya.