Baru-baru ini, tular satu video menunjukkan seorang pengadil ditumbuk ketika bertugas mengendalikan satu perlawanan liga amatur di salah satu padang bola sepak komersial ternama di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Vocket FC sebelum ini, pengadil tersebut bertugas untuk mengendalikan perlawanan sebuah liga amatur iaitu Footy Premier League di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu antara FC Pirates menentang Ukay Positive.
Baca Juga:
- Ditumbuk Ketika Bertugas, Pengadil Ini Buat Laporan Polis
- Pengadil Ditumbuk Ketika Perlawanan Liga Amatur
- Mahu Lahirkan Pengadil Berprestasi Tinggi, FAM Lancar Akademi Pengadil Profesional
Pada separuh masa kedua, pengadil bertugas memberikan sepakan penalti kepada Pirates selepas salah seorang pemain Ukay melakukan kekasaran dalam kawasan penalti.
Akan tetapi, keputusan itu tidak disenangi oleh pemain terbabit dan kemudiannya menumbuk pengadil selepas beliau dilayangkan kad kuning kerana membuat bantahan keras.
Pengelola liga kemudiannya mengeluarkan kenyataan dimana mereka menggantung pemain terbabit serta mengenakan denda sebanyak RM500 terhadap Ukay Positive.
“Dengan dukacitanya, pihak penganjur liga ingin mengumumkan bahawa pemain Shaharudin (7) dari pasukan Ukay Positive telah digantung daripada bermain dalam Footy Premier League 2024. Keputusan ini dibuat susulan insiden yang berlaku semasa perlawanan minggu ke-4 antara Ukay Positive dan FC Pirates.
“Perlawanan terhenti selama 20 minit kerana isu keselamatan dan trauma yang dialami oleh pengadil. Setelah menimbang keselamatan, jawatankuasa pertandingan memutuskan bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan dan menamatkannya serta-merta.
“Pihak FPL menentang sekeras-kerasnya tindakan agresif yang dilakukan oleh Shaharudin terhadap pengadil perlawanan dan menjatuhkan hukuman gantung daripada bermain dalam liga FPLSCL24 ini kepada pemain tersebut. Pasukan Ukay Positive juga dikenakan hukuman denda sebanyak RM500.00.
“Kami, pihak penganjur, memberikan sokongan penuh terhadap tindakan pengadil tersebut dan bersedia kami untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis berhubung insiden itu.
“Sebagai pihak penganjur yang melantik pengadil tersebut, adalah tanggungjawab kami untuk memberikan sokongan ini. Malah, ia juga menunjukkan bahawa kami memandang serius perkara yang berlaku.
“Kami berharap pada masa akan datang semua pemain, pasukan, dan penganjur menjadikan liga amatur ini bukanlah tempat untuk menunjukkan kekasaran sehingga mengakibatkan
trauma kepada pihak lain,” dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.