Aksi final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu (TFC) malam tadi dicemari oleh mutu pengadilan yang disifatkan sebagai ‘berat sebelah’ oleh para peminat bola sepak tempatan.

Perlawanan tersebut menyaksikan tiga sepakan penalti diberikan, dua diberikan kepada JDT dan satu buat TFC yang mana disempurnakan oleh kedua-dua pasukan.

Baca Juga:

Walaupun keadaan padang kelihatan teruk, namun persembahan pengadil, S Logeswaran paling mencuri tumpuan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Kebanyakan peminat di media sosial mengkritik tindakan Logeswaran memberikan penalti kepada JDT pada minit kelima apabila Azam Azmi didakwa melakukan kekasaran ke atas Fernando Forestieri.

Rakaman video yang tular di media sosial jelas menunjukkan Forestieri sengaja menjatuhkan diri di kawasan kotak penalti sekaligus menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya.

Sepakan penalti itu disempurnakan Bergson da Silva untuk gol pembukaan.

Namun, Logeswaran masih ‘teragak-agak’ untuk memberikan sepakan penalti kepada TFC apabila penyerangnya, Ivan Mamut dijatuhkan Jordi Amat.

Bagaimanapun, pembantu pengadil, Muhammad Farhan Abdul Aziz mengangkat bendera untuk mengesahkan ia adalah penalti. Ivan Mamut menyudahkan sepakan penalti itu untuk gol penyamaan TFC.

Malah, tindakan Logeswaran tidak memberi kad merah kepada Jordi Amat turut dipersoalkan kerana didakwa jelas melakukan kekasaran untuk mengagalkan peluang Ivan Mamut jaringkan gol.

JDT bangkit menjaringkan dua gol di separuh masa kedua menerusi tandukan Feroz Baharudin pada minit ke 72 dan sepakan penalti Arif Aiman di masa kecederaan sekaligus mengesahkan Piala Malaysia 2023 menjadi milik mereka.

Tinjauan di media sosial mendapati peminat terus mengkritik kewajaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih Logeswaran sebagai pengadil perlawanan berprestij seperti Final Piala Malaysia.

MFL sebelum ini mengesahkan sistem video bantuan pengadil (VAR) tidak dapat digunakan untuk aksi final Piala Malaysia kerana masih dalam fasa pengujian dan memerlukan masa sebelum dapat diimplementasikan dengan lancar tanpa sebarang masalah.