Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tampil bersuara susulan keadaan padang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang final Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung malam ini.

Sebelum ini, TMJ sempat ‘menyindir’ pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila mendakwa formula Pengerusi, Datuk Hans Isaac agak ‘menjadi’.

Baca Juga:

Malah semalam baginda turun sendiri untuk melihat keadaan padang dan mendapati beberapa pemainnya berisiko mendapat kecederaan dalam perlawanan malam ini.

Harimau Malaya juga berpotensi kehilangan beberapa tonggak utama untuk beraksi di Piala Asia 2023 Qatar pada tahun depan jika pemain mendapat kecederaan akibat permukaan padang yang tidak rata.

“Main boleh main. Tetapi kualiti perlawanan akan kurang. Yang membimbangkan adalah pemain kebangsaan macam Corbin, Arif Aiman, Matt Davies, Hendrick, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera.

” Buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar,” komen TMJ di laman instagram.

PSM dalam satu kenyataan rasmi semalam turut memohon maaf kepada Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan semua peminat bola sepak  negara terutamanya penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

Mereka juga mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memperbaiki padang tersebut selepas berakhirnya konsert Coldplay.

“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki atau mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu,.

“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” kata kenyataan rasmi SPM.