COVID-19 telah menyedarkan kita betapa sesetengah kelompok manusia lebih percaya kepada teori konspirasi daripada doktor dan sains. Manakala sekolompok lagi percaya bahawa hanya doa sahaja kunci kepada permasalahan mereka. Namun doa tanpa usaha, sama dengan anda mengharap laci terbuka tanpa anda berusaha membukanya, ia akan menjadi satu perkara yang sia-sia.
Seorang doktor berketurunan India-Amerika, yang tinggal di Kansas City, Dr. Dhanunjaya Lakkireddy selalu tertanya-tanya apakah doa mampu membuatkan sesuatu perkara itu menjadi berbeza? Dan sekarang, dia sedang sibuk menyiapkan jawapan kepada persoalannya.
Lakkireddy sebenarnya mempunyai teori sendiri bahawa ‘syafaat doa’ atau kegiatan mendoakan orang lain mampu untuk menyembuhkan pesakit yang positif wabak coronavirus.
Beliau adalah seorang pakar kardiologi di Institut Rhythm Jantung Kota Kansas, Lakkireddy adalah pengkaji utama dalam percubaan klinikal bagi kesan berdoa yang melibatkan 1000 pesakit COVID-19 – jangkitan yang telah membunuh lebih 70,000 orang diseluruh dunia.
Beliau telah memulakan kajian pada 1 Mei lalu dan akan menyelidik manfaat doa bagi kesihatan pesakit COVID-19, lapor National Institutes of Health.
Kajiannya akan bermula dengan membahagikan pesakit kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan dipilih secara rawak dan akan didoakan dalam lima bentuk agama yang popular iaitu Kristian, Hindu, Islam, Yahudi, dan Buddha. Manakala kumpulan kedua yang terbahagi kepada 500 orang akan membentuk kumpulan kawalan.
Semua pesakit akan mendapat rawatan yang sama dan telah ditetapkan oleh pegawai perubatan masing-masing.
Dhanunjaya adalah seorang Hindu yang belajar di sekolah Katolik dan menghabiskan masa di rumah ibadat, biara dan masjid. Kajian ini mempersoalkan, “Jika kekuatan ghaib benar-benar ada, adakah kekuatan doa dan campur tangan tuhan dapat mengubah hasilnya dengan cara yang diinginkan oleh orang beragama?”
Beliau akan menilai berapa lama pesakit itu memerlukan bantuan ventilator, berapa ramai pula yang mengalami kegagalan organ, seberapa cepat pula pesakit ini akan dibebaskan dari rawatan intensif dan berapa ramai yang akan mati.
“Saya percaya pada kekuatan semua agama,” katanya. “Saya rasa jika kita mempercayai keajaiban Tuhan dan kebaikan sejagat dari mana-mana agama, maka kita harus mengangkat tangan dan bergabung dengan kekuatan masing-masing untuk satu-satunya tujuan iaitu menyelamatkan umat manusia dari wabak ini.”
Lakkireddy turut menyatakan bahawa dia masih belum dapat menjelaskan bagaimana orang yang berdoa dari jarak jauh untuk seseorang yang kita tidak kenal mampu memberi perbezaan dalam hasil kajian nanti. Dia turut menambah bahawa kajiannya ini mendapat reaksi yang berbeza dari rakan sekerjanya.
“Malah isteri saya, yang merupakan doktor,” katanya. “Dia sendiri ragu-ragu dengan saya. Dia kata pada saya, ‘Okay, apa yang kamu lihat?” Lakkireddy berkata bahawa dia tidak tahu apa yang akan dijumpainya pada akhir kajian. “Tetapi kajian ini tidak membahayakan seseorang,” katanya. “Keajaiban dapat terjadi. Selalu ada harapan, kan?”
Untuk bacaan lanjut mengenai situasi COVID-19, klik pautan di bawah.
Belum Selesai Dengan COVID-19, Kanak-Kanak Di AS Kini Diserang Dengan Penyakit Misteri
Israel Dakwa Berjaya Cipta Antibodi Yang Mampu Sembuhkan Pesakit COVID-19
Demi Untuk Terus Hidup, Lelaki Ini Berjalan 100KM Sambil ‘Melelong’ Buah Pinggangnya