Penglibatan ahli perubatan tempatan di persada antarabangsa terus melakar kebanggaan buat negara apabila Dr. Luqman Hafidz dari Klinik IIUM Sejahtera dipilih mengetuai Pasukan Ekstrikasi Malaysia untuk acara Formula Satu (F1) Bahrain GP 2026 di Malaysia.
Pelantikan khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menyaksikan Dr. Luqman menggalas tanggungjawab kritikal dalam menguruskan keselamatan serta prosedur mengeluarkan pemandu daripada jentera jika berlaku sebarang insiden darurat di litar.
Menerusi perkongsian Facebook Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), bagi memastikan persediaan berada pada tahap tertinggi, Dr. Luqman bersama pasukannya telah menjalani latihan intensif khas yang dikendalikan oleh KKM dengan kerjasama pakar perubatan kecemasan F1 Bahrain.
Dalam satu video yang dimuat naik, latihan berkenaan merangkumi simulasi tindakan pantas dan kepakaran teknikal bagi memastikan pemandu F1 dapat dikeluarkan dengan selamat dalam keadaan kritikal.
Bagi sukan permotoran berprestij tinggi seperti F1, setiap pemandu memerlukan kebiasaan dan keandalan pasukan perubatan berdedikasi khusus bagi mengendalikan sebarang situasi cemas di dalam dan luar kokpit.
Kejayaan Dr. Luqman memimpin pasukan perubatan khas ini bukan sahaja membuktikan keupayaan serta kepakaran warga perubatan tempatan di arena sukan permotoran dunia, malah turut mengharumkan nama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan negara di peringkat global.