Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mahu mencalonkan Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu selepas kejayaan Piala Dunia 2026.
Menurut laporan New York Post, Trump menganggap Infantino sebagai seorang pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat dunia dan mempunyai pengaruh global hasil kepimpinannya dalam bola sepak antarabangsa.
Hubungan rapat antara kedua-duanya juga semakin terserlah sepanjang penganjuran Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Bagaimanapun, laluan Infantino ke kerusi tertinggi PBB bukan mudah. Calon Setiausaha Agung perlu mendapat sokongan Majlis Keselamatan PBB sebelum diluluskan oleh Perhimpunan Agung bagi menggantikan António Guterres yang bakal menamatkan penggalnya hujung tahun ini.
Jawatan Setiausaha Agung PBB merupakan salah satu jawatan paling berpengaruh di peringkat antarabangsa, dan calon yang dilantik memerlukan kelulusan daripada Majlis Keselamatan PBB, di mana Amerika Syarikat memiliki kuasa veto.
Setakat ini, masih belum jelas sama ada Infantino sendiri berminat untuk menerima pencalonan tersebut.
Trump percaya bahawa Infantino merupakan calon yang kuat dan ideal untuk memegang jawatan tersebut, memandangkan pengalaman luas beliau dalam menguruskan organisasi antarabangsa berskala besar seperti FIFA.
Kedua-dua individu ini telah menunjukkan hubungan yang rapat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya berkaitan dengan Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Utara.
Laporan ini mencetuskan semula perdebatan mengenai hubungan semakin rapat antara FIFA dan pentadbiran Trump.
Ada beberapa pihak mempersoalkan sama ada Infantino terlalu rapat dengan presiden Amerika Syarikat untuk memegang jawatan berkepentingan global di PBB.
Sebelum ini Infantino menuai kritikan kerana menganugerahkan Donald Trump dengan Anugerah Keamanan FIFA, selepas Trump gagal memenangi Anugerah Keamanan Nobel.
Anugerah Keamanan FIFA itu dianggap tidak masuk akal kerana ketika itu AS berkali kali melakukan pencabulan dan aktiviti ketenteraan di negara lain.