Pemimpin paling lama yang memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir telah disenaraikan dalam pemimpin dunia paling kaya sepanjang zaman.
Menurut laporan laman Love Money dan dimuat naik di laman Yahoo Finance UK, Mahathir yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri sebanyak 2 kali telah disenaraikan dalam 10 pemimpin terkaya.
Menurut laporan terbabit, bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, yang memerintah dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi pada 2018 hingga 2020 berada di tangga ke-7 dan dilaporkan mempunyai kekayaan sekitar $40 bilion.
Laporan itu turut mendakwa bahawa kekayaan Mahathir datang dari kepentingan dalam lebih 50 bank di seluruh dunia.
Selain Mahathir, terdapat beberapa pemimpin dunia lain yang melengkapkan 10 senarai pemimpin paling kaya sepanjang zaman dan kebanyakan mereka mempunyai rekod kurang baik atau dianggap sebagai diktator oleh media barat.
Antaranya adalah Mobutu Sese Seko (Republik Demokratik Congo) dengan kekayaan RM72 bilion, José Eduardo dos Santos (Angolo) dengan kekayaan sebanyak RM122 bilion, Ibrahim Babangida (Nigeria) dengan kekayaan sebanyak RM132 bilion, Ferdinand Marcos (Filipina) dengan kekayaan sebanyak RM251 bilion, Suharto (Indonesia) dengan kekayaan RM275 bilion, Ali Abdullah Saleh (Yaman) dengan kekayaan sebanyak RM391 bilion, Hosni Mubarak (Mesir) dengan kekayaan sebanyak RM465 bilion, Vladimir Putin (Rusia) dengan kekayaan sebanyak RM1.2 trilion dan akhir sekali Muammar Gaddafi (Libya) dengan kekayaan sebanyak RM1.3 trilion
Bagaimanapun, senarai ini meragukan dan pernah mencetuskan perdebatan di kalangan ahli politik di Malaysia.
Pada akhir bulan lalu, laman ini pernah menyenaraikan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia.
Laporan tersebut menyatakan bahawa beliau mengisytiharkan harta $2.4 juta (RM11.3 juta) sebagai aset pada November 2022 dengan harapan untuk memaksa pihak pembangkang berbuat perkara yang sama.
“Tunai dan pelaburan menyumbang hampir $180,000 dalam aset Anwar, dengan majoriti, $2.2 juta, terdiri daripada sebuah rumah dan tiga bidang tanah,” kata laporan tersebut.
Senarai itu juga telah digunakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Yusni Mat Piah (PN-Penaga) untuk menghentam PMX.
Namun beberapa hari selepas itu, beliau tampil membuat permohonan maaf kepada semua ahli Dewan selepas ditegur oleh Speaker Law Choo Kiang.
Beliau juga mengakui bahawa kedudukan yang menjadi asas kepada dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai.