Pasukan Kedah Darul Aman dilaporkan berjaya mendapatkan dua pemain import yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga Malaysia bagi menghadapi musim 2024/25.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dua pemain yang dimaksudkan ialah Habib Haroon dan Sony Norde yang mana musim lalu beraksi bersama pasukan Terengganu FC.

Khidmat dua pemain ini tidak disambung oleh pihak pengurusan Terengganu dimana kelab Pantai Timur itu memutuskan untuk mendapatkan pemai baharu bagi menghadapi saingan musim ini.

Norde meluahkan kekecewaan kerana khidmatnya tidak disambung kerana beliau sudah selesa beraksi dengan skuad bimbingan Tomislav Steinbrückner.

“Saya mahu kekal tetapi pengurusan kelab tidak menyambung kontrak saya. Mereka tidak menawarkan apa-apa. Jadi ya, ada sedikit kekecewaan.

“Tetapi ini adalah bola sepak, saya perlu meneruskannya,” kata Norde yang telah tampil dalam 27 penampilan bersama skuad kebangsaan Haiti.

Kedah Darul Aman
Sumber Gambar: TFC

Bagi Habib Haroon pula, selepas dua musim menyarung jersi Terengganu, pemain kelahiran Bahrain itu mengakui beliau memilih untuk beralih angin ke kelab lain bagi menimba lebih pengalaman dan peluang di tempat baharu.

“Ini adalah antara musim yang menakjubkan. Saya telah mengabdikan hidup saya di sini dan saya sangat menyayangi pasukan ini (TFC) dan akan sentiasa menyayangi mereka,” katanya.

Tambah Habib, dia akan tetap merindui peminat bola sepak Terengganu yang disifatkan sebagai antara penyokong kelab terbaik di negara ini.

Baru-baru ini, Kedah Darul Aman membawa masuk pemain import yang beraksi di posisi sayap, Sukhrob Nurulloev yang pernah menyarung jersi kebangsaan Uzbekistan untuk skuad bawah 23 dan juga bawah 20 tahun.