China sekali lagi memperlihatkan ketegasan mereka terhadap isu rasuah apabila dua bekas Menteri Pertahanan negara itu, Wei Fenghe dan Li Shangfu dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan dua tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah berskala besar.

Menurut laporan Reuters, kedua-duanya didakwa menerima sogokan serta menyalahgunakan kuasa ketika memegang jawatan tertinggi dalam institusi ketenteraan China.

Kes mereka turut dikaitkan dengan siasatan besar-besaran terhadap amalan korupsi dalam Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Untuk pengetahuan, hukuman “mati dengan penangguhan dua tahun” di China merupakan antara hukuman paling berat dalam sistem kehakiman negara itu.

Dalam kebanyakan kes, hukuman tersebut akan ditukar kepada penjara seumur hidup tanpa parol sekiranya pesalah menunjukkan kelakuan baik sepanjang tempoh dua tahun tersebut.

Kes ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada kempen anti-rasuah Presiden Xi Jinping yang semakin agresif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kempen tersebut bukan sahaja menyasarkan ahli politik, malah turut melibatkan pegawai tertinggi tentera dan individu berpengaruh dalam kerajaan.

Wei Fenghe pernah menjadi Menteri Pertahanan China dari tahun 2018 hingga 2023, manakala Li Shangfu pula menggantikannya sebelum secara tiba-tiba ‘hilang’ daripada perhatian umum dan disingkirkan daripada jawatan kerajaan pada tahun lalu.

Sebelum ini, kedua-dua mereka telah dipecat daripada Parti Komunis China atas dakwaan “pelanggaran disiplin serius” — istilah yang sering digunakan pihak berkuasa China bagi kes melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.