Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Yemen pada aksi persahabatan antarabangsa tier 1 yang berlangsung di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong sebentar tadi.
Pemain yang beraksi di Scotland bersama Ross County, Richard Chin menjadi watak utama dalam memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia dengan dua jaringan dihasilkannya.
Selepas tunduk 0-2 kepada China tempoh hari, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tampil dengan corak permainan yang lebih tersusun dan berdisiplin sejak wisel permulaan ditiupkan.
Malaysia Kembali Raih Kemenangan
Kelebihan memiliki ranking dunia lebih baik berbanding Yemen juga digunakan sepenuhnya barisan pemain untuk menguasai permainan.
Kem negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Richard Chin melakukan percubaan voli susulan kesilapan penjaga gol Yemen, Abdulhakim Al-Sadi yang gagal menangkap kemas hantaran lintang dilakukan Quentin Cheng pada minit ketujuh.
Gol kedua skuad negara hadir pada minit ke-57 selepas Richard Chin sekali lagi mengambil kesempatan di atas kesilapan mudah dilakukan Abdulhakim untuk mudah menolak masuk gol kedua.
Tersentak dengan jaringan kedua tersebut, Yemen memperkemaskan aksi untuk lebih mengancam skuad negara.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-78 menerusi tolakan jarak dekat Rauf Sheraji yang pada mulanya berjaya ditepis Haziq Nadzli, namun bola tersebut terkena kaki penjaga gol negara itu lalu bergolek masuk ke gawang sendiri untuk Yemen merapatkan jurang.
Jaringan itu bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang skuad negara untuk menutup aksi di China dengan nota kemenangan.