Dua pemuda dari Kelantan, Muhammad Arif Arman Suddin, 30, dan Mohammad Azhan Shamsu Anuar, 28, pengasas bersama Arjuna Dharma Global mencuri perhatian warganet apabila berjaya mengubah sisa minyak masak menjadi sumber tenaga baharu.
Memetik Berita Harian, sisa minyak masak mempunyai nilai tinggi jika diproses dengan betul.
Baca Juga:
- ‘Lambai Tangan, Guna Lorong VIP’ – Polis Kelantan Bongkar Taktik Lama Orang Malaysia Masuk Thailand Tanpa Dokumen

- Kelantan Kini Miliki Litar Drag Pertama

- ‘Remaja Sanggup Jadi ‘Pusher’ Sebab Kagum Tengok Tokan Hidup Mewah’ – Ketua Polis Kelantan

Bekas jurutera kapal terbang, Muhammad Arif Arman, berkata pengalaman bekerja dalam industri penerbangan menjadi titik tolak kepada usaha mereka mencari kaedah inovatif bagi menukar bahan sisa kepada sumber tenaga mampan.

“Kami mengambil masa kira-kira lapan bulan sejak tahun lalu untuk menjalankan pelbagai kajian dan proses try and error bagi memahami teknik penghasilan bahan api berasaskan minyak masak terpakai,” katanya kepada BERNAMA.
Muhammad Arif Arman sebelum ini menimba ilmu dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang kejuruteraan.
Menurut beliau, minyak masak terpakai yang mereka proses mula mendapat sambutan daripada beberapa syarikat pembekal bahan api sektor penerbangan sejak Februari lalu.

Proses buat bahan api kapal terbang
Sisa minyak masak dibeli dari seluruh negeri Pantai Timur dan Perak. Hanya minyak daripada sumber sayur-sayuran dibenarkan mengikut kriteria ISCC CORSIA diambil.
“Kami membeli minyak terpakai pada harga antara RM2.30 hingga RM3 sekilogram bergantung pada kawasan. Setiap hari, hampir 5,000 liter minyak masak terpakai dikumpul pasukan kami di beberapa negeri untuk diproses,” katanya.
Minyak masak terpakai yang telah diproses itu kemudiannya dihantar secara berperingkat.
Kira-kira 33,000 liter setiap kali dihantar ke Fima Bulking Group di Pelabuhan Klang, Selangor. Kemudian dibekalkan kepada syarikat pembekal bahan api penerbangan antarabangsa.
“Setakat ini, minyak yang kami hasilkan telah mendapat tempahan tetap daripada beberapa syarikat pembekal bahan api kapal terbang di Amsterdam, Switzerland dan Amerika Syarikat.
“Minyak ini hanya boleh dibekalkan kepada syarikat yang memiliki pensijilan ISCC CORSIA dan penggunaannya terbukti mampu mengurangkan pelepasan karbon di udara hingga empat kali ganda berbanding minyak kerosin,” jelas beliau.
Kedua-dua pengasas Arjuna Dharma Global meletakkan harapan lebih ramai rakyat Malaysia menyedari potensi ekonomi dan alam sekitar yang terkandung dalam minyak masak terpakai.