Berdasarkan laporan baharu UNICEF hari ini, obesiti kini telah mengatasi kekurangan berat badan sebagai bentuk malnutrisi yang lebih lazim tahun ini.
Jangkaan awal ia bakal menjejaskan 1 daripada 10, atau 188 juta, kanak-kanak dan remaja usia sekolah, meletakkan mereka berisiko menghidap penyakit yang mengancam nyawa.

Difahamkan kegagalan menangani masalah obesiti akan mengakibatkan kerugian ekonomi global yang besar, dengan kos yang dijangka mencecah lebih $4 trilion (~RM16 trilion) setahun pada tahun 2035.
Angka ini menjadi amaran keras bahawa obesiti telah melampaui masalah peribadi. Ia kini berisiko menjadi ancaman besar yang menggugat kestabilan ekonomi global.
Keadaan ini berpunca daripada pelbagai faktor. Selain peningkatan kos makanan sihat yang mendorong pengambilan makanan ultra-proses, pemasaran digital turut memainkan peranan besar dengan meluaskan akses kepada golongan muda di pasaran global.
Sebuah kajian menunjukkan bahawa 75% belia berusia 13 hingga 24 tahun terdedah kepada iklan minuman bergula, snek, atau makanan segera setiap minggu. Lebih membimbangkan, 60% daripada mereka mengakui iklan tersebut meningkatkan keinginan mereka untuk mengambil makanan tidak sihat. Malah, situasi ini turut dialami oleh 68% belia di negara yang dilanda konflik.
Lebih membimbangkan, jumlah individu yang mempunyai berat badan berlebihan telah meningkat dua kali ganda kepada 391 juta. Ini bermakna lebih ramai golongan muda kini berdepan isu obesiti berbanding masalah kekurangan zat makanan.
Bagi mengatasi isu ini, UNICEF menggesa setiap negara melaksanakan dasar pengawalan makanan tidak berkhasiat. Langkah ini termasuk mengenakan cukai, mengehadkan pemaparan iklan, dan menyokong akses kepada makanan segar. Tindakan ini dilihat mampu menamatkan kerugian ekonomi sambil melindungi kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.