Durian Malaysia kini menjadi buah kegemaran baharu rakyat China.

Dalam tahun 2025 ini, eksport durian dari Malaysia ke China meningkat secara mendadak, memberi berita gembira kepada petani-petani tempatan.

Fenomena ini berlaku selepas lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu lalu — dan nampaknya, bukan hanya hubungan diplomatik yang erat, tapi durian kita pun makin digilai.

Kenapa Tiba-Tiba Permintaan Durian Malaysia Naik?

Menurut laporan South China Morning Post, permintaan terhadap durian Malaysia melonjak tinggi, terutamanya durian yang masak ranum secara semula jadi dan dihantar segar ke China dalam masa kurang 48 jam.

Durian
Sumber: Straight Times

Durian jenis ini digemari golongan kaya di China kerana rasa yang lebih autentik dan manis, berbeza dengan durian dari Thailand dan Vietnam yang selalunya dipetik sebelum cukup masak.

Guo Min dari syarikat pengedar buah-buahan Joy Wing Mau berkata, eksport durian dari Malaysia dijangka naik sebanyak 30% tahun ini, sekaligus meningkatkan keyakinan pengedar buah di China.

Vivian Wang dari Dole Asia Holdings pula menyatakan bahawa durian Malaysia kini antara buah import yang paling cepat berkembang dari segi permintaan di pasaran China.

Walaupun Thailand masih menguasai pasaran durian di China dengan 57% pegangan, dan Vietnam pula 38%, Malaysia sedang membuat lonjakan besar – dengan peningkatan jualan 10 kali ganda berbanding tahun lalu.

Durian
Sumber: Berita Harian

Dari Ogos hingga Disember 2024 sahaja, eksport durian segar Malaysia ke China mencatatkan nilai RM24.8 juta (US$5.6 juta).

Kelebihan utama durian Malaysia?

Ia dibiarkan masak di atas pokok, menjadikannya lebih enak dan harum, satu ciri yang sangat dihargai oleh pengguna di China yang semakin cerewet dan menghargai kualiti.

China International Import Expo turut menunjukkan trend yang positif. Acara itu berjaya memeterai perjanjian pembelian bernilai US$80 bilion pada 2024, dengan sektor makanan dan produk pertanian antara yang paling menonjol.

Durian
Sumber: REUTERS

Dengan lebih 800 syarikat antarabangsa dari 70 negara terlibat, Malaysia jelas berada dalam posisi strategik untuk memanfaatkan peluang ini.

Kata Jiang Jianli dari Goodfarmer Fresh Fruit Trading, “Pasaran buah-buahan berkualiti tinggi di China sedang berkembang. Buah import yang sihat masih jadi pilihan pengguna, dan ini beri peluang besar kepada pembekal seperti kita.”