Legenda Manchester United, Dwight Yorke secara dramatik telah bertindak melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Trinidad and Tobago.
Keputusan itu diambil bukan sahaja kerana kegagalan pasukan untuk mara ke Piala Dunia 2026, malah disebabkan rundingan kontrak yang tidak menemui kata sepakat.
Yorke mengambil alih jawatan pada November 2024 dengan harapan tinggi untuk membawa negaranya ke pentas dunia, mahu meniru kejayaannya sebagai pemain semasa penampilan bersejarah Piala Dunia FIFA 2006.
Namun skuad Trinidad and Tobago hanya menduduki tempat ketiga dalam kumpulan kelayakan sekali gus hanya mampu kecewa.
Persatuan Bola Sepak Trinidad and Tobago (TFFA) masih mahukan khidmat Yorke, tetapi memberikan cadangan pengurangan gaji ekoran kegagalan ke Piala Dunia.
Dwight Yorke Gagal Capai Kata Sepakat
Yorke difahamkan berkeras dan tidak mahu menerima cadangan tersebut yang akhirnya menjurus kepada perpisahan kedua-dua pihak.
“Selepas tamatnya kempen kelayakan Piala Dunia FIFA baru-baru ini, Jawatankuasa Eksekutif TTFA telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap kempen tersebut serta hala tuju keseluruhan program skuad lelaki kebangsaan, termasuk struktur teknikal dan kerangka kewangan pasukan.”
“Perbincangan susulan turut diadakan antara TTFA dan Yorke mengenai masa depan jawatan tersebut, namun kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan terhadap syarat yang dicadangkan, lalu mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.”
“Walaupun berpisah, persatuan bola sepak Trinidad dan Tobago tetap mengucapkan terima kasih atas komitmen Dwight Yorke sepanjang tempoh perkhidmatannya dan menyatakan pintu masih terbuka untuk perbincangan pada masa hadapan,” kenyataan dikeluarkan TFFA menurut sumber laporan Goal.