Cyberview Sdn Bhd, selaku Pemaju Hab Teknologi terus menawarkan pelbagai sokongan kepada pemain teknologi tempatan dan pada masa sama turut menarik syarikat teknologi antarabangsa untuk melabur di Hab Teknologi Global, Cyberjaya.

Baru-baru ini, Cyberview telah memuktamadkan perjanjiannya dengan EdgeConneX untuk menubuhkan pusat data di bandar inovasi ini.

Untuk pengetahuan, EdgeConneX yang merupakan syarikat berpengkalan dari Amerika Syarikat ini telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Cyberview untuk membeli lot enterprise seluas 30 ekar untuk membangunkan kampus pusat data mereka.

Kampus pusat data ini akan berkapasiti lebih 200 megawat (MW) dan kuasa berskala bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan yang semakin meningkat pada masa akan datang.

Perjanjian ini dimeterai semasa majlis penutup expo inovasi Cyberview “InnoEx” pada 9 September lalu dimana pertukaran dokumen perjanjian diadakan antara Kamarul Ariffin Abdul Samad, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview dan Pengasas Bersama EdgeConneX, Randy Brouckman yang disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang hadir mewakili YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membaca teks ucapan YAB Perdana Menteri

Kamarul berkata pelaburan EdgeConneX merupakan satu pencapaian yang signifikan dan meletakkan Cyberjaya sebagai destinasi utama untuk penyedia pusat data berskala besar.

“Komitmen kami untuk memupuk inovasi, digabungkan dengan ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang, akan meningkatkan lagi permintaan untuk pusat data yang berpangkalan di bandar kami.”

“Kami juga menganggarkan pelaburan teknologi sebanyak RM35 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, yang sejajar dengan kedudukan Cyberjaya sebagai lokasi pelaburan teknologi pilihan.”

Untuk pengetahuan, Cyberjaya kini turut menyaksikan peningkatan pusat penyimpanan data di mana terdapat hampir 20 pusat penyimpanan data sekaligus menyumbang lebih 70% kepada kapasiti pusat penyimpanan data dalam negara.

PM yakin dengan potensi pelaburan teknologi Cyberjaya 
Sumber: Malay Mail

Menurut Perdana Menteri juga, Cyberjaya yang dipacu menerusi Pelan Induk Cyberjaya mampu menjadi lokasi pilihan pelaburan teknologi melalui penyertaan syarikat-syarikat teknologi tempatan dan juga antarabangsa.

Dato’ Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Pelan Induk Cyberjaya yang dilancarkan pada 2019, sebagai strategi untuk Cyberjaya membangun selari dengan perkembangan teknologi dan inovasi, memberi tumpuan kepada tiga tunggak utama iaitu mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan digital kreatif.

Dalam teks ucapan beliau pada majlis penutup InnoEx, beliau turut menyenaraikan syarikat-syarikat terkemuka tempatan dan antarabangsa yang telah memilih Cyberjaya sebagai lokasi untuk bertapak, seperti Aerodyne Technologies, Monsta Studios dan Hematogenix.

“Cyberview, sebagai Pemaju Hab Teknologi Cyberjaya telah memainkan peranannya dalam menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula melalui pemberian galakan khususnya di bawah program Cyberview Living Lab Accelerator Programme (CLLA)” tambah beliau.

Secara kolektif, beliau berkata syarikat bimbingan CLLA telah menarik lebih RM252 juta nilai pelaburan yang secara langsung juga telah memberi impak kepada ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,400 pekerjaan.