Seorang eksekutif jualan, Mohd Syukri Shahrudin, 33 maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8 di sini, ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 yang akan berlangsung di Terengganu, esok.

Mangsa dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan, petik Berita Harian.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kejadian berlaku jam 6.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau menuju ke Terengganu.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, ketika kejadian keadaan jalan di lokasi lurus dengan dua hala laluan, berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

“Tiada saman trafik direkodkan terhadap mangsa, manakala motosikal terbabit akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber