Waris kepada tiga peserta program RXZ Member 8.0 yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu disahkan layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam masa yang sama, seorang lagi peserta yang mengalami kecederaan turut mendapat perlindungan di bawah skim berkenaan, petik Berita Harian.

PERKESO dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bahawa semakan Skuad PERKESO Prihatin mengesahkan kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 47 tahun itu merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Pembayaran Faedah Kes Kemalangan Maut

1. Allahyarham Mohd Fauzi Othman (44 tahun)

Maut akibat motosikal terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pada 31 Julai.

– Balu & 5 anak: Layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara one-off dan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing.

– Pencen dibayar sepanjang hayat kepada balu, manakala anak-anak menerima faedah sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

2. Allahyarham Zulkanain Mat Said (39 tahun)

Terkorban dalam kemalangan di Gambang pada 31 Julai.

– Waris: Layak menerima FPM sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat sebanyak RM1,840.13 sebulan mengikut syer masing-masing.

3. Allahyarham Muhammad Shahrul Mohd Sabri (20 tahun)

Maut di Kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 1 Ogos.

– Ibu bapa & 3 adik: Memandangkan arwah belum berkahwin, FPM sebanyak RM3,000 disalurkan terus kepada waris. Beliau turut dilindungi di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, membolehkan ibu bapa menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) seumur hidup dan tiga adiknya sehingga berusia 21 tahun, dengan nilai RM1,115.10 sebulan.

– Anggaran keseluruhan FOT yang bakal diterima waris melebihi RM260,000 bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

Rawatan Mangsa Cedera & Inisiatif Sinergi Sosial

Bagi mangsa yang cedera, Durulmaizi Salamon (47 tahun), yang mengalami kecederaan bahu dan kaki kanan di Kilometer 294 LPT2 pada 31 Julai, beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara serta Bayaran Ganti Belanja berdasarkan tempoh cuti sakit dan kos rawatan.

Walau bagaimanapun, suami beliau yang maut dalam kemalangan sama didapati bukan pencarum dan tidak layak menerima faedah. Pihak PERKESO telah merujuk kes berkenaan kepada agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy bagi bantuan lanjut.

PERKESO turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah mendapatkan perlindungan seperti LINDUNG 24 Jam demi menjamin kebajikan diri serta keluarga sekiranya berlaku insiden tidak diingini di luar waktu kerja.

Sumber