Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya tragis di Jalan Karak Lama, Bentong pada 25 Julai 2026.

Hasil semakan rekod mendapati empat daripada mangsa (berumur 16 hingga 25 tahun) merupakan pencarum aktif dan layak menerima faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam dan Skim Keilatan (Akta 4):

Faedah Pengurusan Mayat (FPM): Setiap waris bagi empat mangsa yang layak menerima bayaran RM3,000 secara one-off.

Mugilan a/l Vraputiran (Skim Keilatan): Waris layak menerima Pencen Penakat RM562.50/bulan (isteri menerima sepanjang hayat, manakala anak berusia 2 tahun menerima hingga berumur 21 tahun atau tamat ijazah pertama).

Alaganathan a/l Krishnan (Skim Keilatan): Waris layak menerima Pencen Penakat RM564.36/bulan (diberi kepada ibu bapa sepanjang hayat dan adik-beradik sehingga berumur 21 tahun).

Kanabati Raja a/l Arunasalam (Skim LINDUNG 24 Jam): Waris layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) RM1,647/bulan (ibu bapa sepanjang hayat dan adik-beradik hingga berumur 21 tahun).

Parathanman a/l Marutayah (Skim LINDUNG 24 Jam): Waris layak menerima FOT RM891/bulan secara berterusan.

PERKESO menganggarkan jumlah keseluruhan FOT yang bakal disalurkan kepada waris pencarum bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang melebihi RM900,000,” petik kenyataan rasmi.

Dalam pada itu, semakan turut mendapati tiga mangsa tidak mempunyai rekod caruman aktif dan seorang mangsa tiada rekod caruman. Berdasarkan syarat perundangan Akta 4, faedah tidak dapat disalurkan kepada waris mereka.

PERKESO menyeru seluruh majikan dan pekerja agar sentiasa memastikan caruman diselenggara dengan baik serta menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Di bawah jenama LINDUNG (dilancarkan Ogos 2025), PERKESO telah menguatkuasakan LINDUNG 24 Jam bermula 1 Jun 2026. Skim ini memberikan perlindungan khas jika berlaku kemalangan di luar waktu kerja di dalam negara buat semua pekerja yang mencarum LINDUNG Pekerja,” jelasnya.

Sumber