Kerajaan jelas mendengar suara dan keluhan pekerja di lapangan. Jemaah Menteri hari ini membuat keputusan penting apabila mengumumkan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini bertukar status daripada mandatori kepada sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
Memetik laporan Harian Metro, Langkah ini diambil selepas mengambil kira maklum balas serta keresahan yang disuarakan oleh pelbagai pihak mengenai potongan gaji terbaharu itu. Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa isu ini telah mendapat perhatian serius daripada pucuk pimpinan negara dalam mesyuarat kabinet.
“Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam bawah PERKESO.
“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta,” kata Fahmi dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menambah bahawa perincian lanjut mengenai keputusan ini akan diterbitkan tidak lama lagi oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Sebelum keputusan terbaharu ini diumumkan, skim LINDUNG 24 Jam yang bermula pada 1 Jun lalu sepatutnya melibatkan lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik.
Matlamat asal skim ini adalah untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan penuh daripada kesan kemalangan yang berlaku di luar waktu dan urusan kerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, sebelum ini memaklumkan bahawa skim tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pekerja melalui potongan gaji bulanan sebanyak 0.75 peratus, dengan had siling gaji bagi maksud caruman ditetapkan pada RM6,000.
Di bawah pelan asal, majikan bertanggungjawab menguruskan potongan tersebut dan menyerahkannya kepada PERKESO setiap bulan.
Walaupun skim ini menawarkan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas dan komprehensif, pelaksanaannya secara wajib telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan tenaga kerja yang rata-ratanya bimbang dengan pengurangan gaji bawa pulang (take-home pay).
Dengan keputusan terbaharu ini, beban pekerja pastinya berkurang kerana mereka kini diberi kebebasan penuh untuk memilih sama ada mahu menyertai skim perlindungan tambahan ini atau sebaliknya, mengikut acuan kewangan masing-masing.