Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menggunakan khidmat pengadil luar negara untuk saingan Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada 4 hingga 8 September depan.

Perkembangan itu disahkan oleh Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut kenyataannya dalam Arena Metro, pihaknya mahu memastikan mutu pengadilan yang berkualiti supaya penganjuran Pestabola Merdeka tidak dilihat sebagai kejohanan ‘syok sendiri’.

“Kita menggunakan pengadil dari luar, kita tak mahu dilihat sebagai menganjurkan pertandingan lebih kepada syok sendiri.

“Jadi kita panggil pengadil dari luar kerana pertandingan ini di bawah FIFA punya kalendar. Jadi kita tak boleh ambil mudah dalam hal ini.

“Kita dah kenal pasti beberapa pengadil dari Asia. Saya tak boleh nak maklum sekarang sebab kita dalam proses perbincangan dengan pengadil-pengadil itu.

“Tapi yakin dan InsyaAllah mungkin pengadil ini bertaraf FIFA yang ada pengalaman mengendalikan mana-mana perlawanan peringkat FIFA,” katanya.

Pestabola Merdeka 2024. FOTO: FAM

Selain itu, terdapat juga perancangan untuk menggunakan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) namun FAM masih belum mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

“Tentang VAR ini kita belum bincangkan…tapi mungkin dalam perbincangan lagi. VAR ini kita nak sediakan untuk Pestabola Merdeka.

“Jadi mungkin dalam seminggu dua ini Datuk SUA (Setiausaha Agung) akan maklumkan. Ada ada perbincangan tapi saya tak boleh putuskan hari ini,” jelas Firdaus.

Untuk saingan Pestabola Merdeka 2024, Malaysia diundi menentang Filipina bagi aksi pertama yang akan berlangsung 4 September depan.

Satu lagi perlawanan membabitkan juara bertahan, Tajikistan menentang Lubnan turut beraksi pada tarikh yang sama. Pemenang akan mara ke final yang berlangsung pada 8 September.

Semua perlawanan tersebut diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.