Elliot Anderson tanpa berselindung mengisytiharkan bahawa Manchester City sebagai ‘raja Manchester’ selepas melengkapkan perpindahan bernilai £116 juta dari Nottingham Forest.
Manchester City mengesahkan pemain tengah England itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun di Stadium Etihad dengan pilihan lanjutan selama setahun.
Perjanjian perpindahan tersebut telah dipersetujui awal bulan ini, namun hanya dimuktamadkan minggu ini selepas pemain berkenaan kembali daripada tugasan di Piala Dunia.
Elliot Anderson Pilih Manchester City
“Saya tidak sabar untuk bermain untuk kelab ini. Ini adalah sebuah kelab yang dibina untuk memenangi trofi dan bersaing di tahap tertinggi bola sepak.”
“Itu sesuatu yang menarik bagi mana-mana pemain,” ujar Anderson menurut sumber laporan beIN Sports.
“Saya fikir mereka adalah pemenang, mereka tidak pernah berputus asa dan itulah jenis pasukan yang saya mahu sertai. Dalam tempoh 10 hingga 12 tahun terakhir, mereka telah mendominasi, sebab itu saya mahu menyertai mereka.”
Anderson turut menantikan peluang beraksi dalam derbi Manchester, apabila City akan bertemu seteru utama mereka, Manchester United di Old Trafford pada 13 September.
“Ia adalah antara derbi terbesar di dunia dan sepanjang saya mengenali Manchester, City adalah raja Manchester. Ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan saya tidak sabar untuk terlibat dalam sesuatu seperti itu.”
Anderson merupakan produk akademi Newcastle United, membuat 55 penampilan bersama skuad utama kelab zaman kanak-kanaknya sebelum menyertai Nottingham Forest menerusi perpindahan bernilai £35 juta dua tahun lalu. Beliau kemudiannya beraksi sebanyak 92 kali bersama kelab dari Midlands itu.
Perpindahan Anderson berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi pemain tengah England, Morgan Rogers menyertai Chelsea dari Aston Villa dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai £117 juta, sekali gus memecahkan rekod perpindahan pemain Britain.