Enam staf PUSPAKOM digantung tugas selepas disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius kes itu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku terutama yang melibatkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.
Baca Juga:
- SPRM Buru ‘Kartel’, ‘Runner’ Dalam PUSPAKOM
- ‘Monopoli 30 Tahun PUSPAKOM Bakal Berakhir’ – Anthony Loke
- Tiada Lagi Bayaran Tunai, PUSPAKOM Hanya Terima Transaksi ‘Cashless’ Sepenuhnya Mulai 1 Julai 2022
“Seperti yang saya tegaskan berulang kali, PUSPAKOM tidak akan berkompromi dengan rasuah. Sekiranya terdapat sebarang bukti mengenai kesalahan itu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat.
“Timdakan yang diambil termasuk mereka yang bekerjasama dengan sindiket untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan secara haram,” katanya.
Tambah Mahmood, syarikatnya sedang menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat dalam jenayah itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan kementeriannya berkerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan terhadap PUSPAKOM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata suruhanjaya itu akan memulakan siasatan sebaik sahaja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selesai menjalankan siasatan mereka.
Jelasnya lagi, hasil perbincangan pihaknya dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, siasatan JPJ terhadap isu PUSPAKOM itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu sebelum semua laporan teknikal berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.
“Daripada laporan itu, kami akan meneliti dengan rapi. Mungkin ada sudut yang boleh ditangani mengikut Akta SPRM atau Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Sementara itu, Anthony Loke berkata monopoli PUSPAKOM yang sudah berusia 30 tahun bakal berakhir selepas menerima lebih sepuluh syarikat telah memohon lesen pemeriksaan kenderaan.
Pengendali baharu itu dijangka boleh mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.
Pada masa sama Menteri Pengangkutan menyatakan pihaknya sedar tentang isu tentang kartel dan runner di pasaran yang akan memastikan mereka yang tidak layak pun diberi kelulusan.