Sebut sahaja tentang Chen Long, tumpuan peminat badminton seluruh dunia pasti akan menceritakan tentang kemampuan hebatnya ketika beraksi.

Lebih menarik, beliau mampu menyinar di tengah-tengah perseteruan unggul antara dua lagi figura badminton dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memulakan karier selaku juara dunia remaja pada 2009 di New Zealand, Chen Long tidak memandang ke belakang lagi untuk meraih gelaran demi gelaran dalam kariernya.

Sama seperti Lin Dan, Chen Long juga memenangi segalanya dalam kancah badminton dunia seperti Kejuaraan Dunia (juara 2014 dan 2015), Sukan Olimpik (pingat emas edisi 2016), tiga kali selaku juara Piala Thomas dan muncul juara Piala Sudirman sebanyak lima kali serta banyak lagi kejuaraan pernah dirangkulnya.

Perkara sama turut dinikmati oleh isterinya yang merupakan bekas pemain nombor satu dunia, Wang Shixian.

Meskipun terlalu banyak kejuaraan dimenangi oleh pasangan suami isteri ini, tetapi kedua-duanya langsung tidak mempamerkan medal kejuaraan di rumah mereka.

Hal ini kerana Chen Long dan Wang Shixian tidak mahu memberikan tekanan kepada anak mereka, Chen Sang Yang meskipun baharu berusia empat tahun.

“Sebenarnya, kami tidak pernah menceritakan kepada Coffee (nama panggilan Sang Yang) berkenaan pencapaian kami,” ujar Shixian bercakap dalam satu video yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kami tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada anak kami. Kami berharap yang dia boleh memilih laluan [kerjaya] dan mengawal sendiri masa depannya.”

Berkahwin pada tahun 2017, Chen Long kini sedang menikmati kehidupan sebagai seorang bapa dengan menghantar dan mengambil Chen Sang Yang daripada sekolah.

Manakala, Wang Shixian pula masih terlibat dalam badminton sebagai tenaga pengajar di Universiti Sukan Beijing.

 

 

Sumber