Perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 semakin menarik untuk disaksikan selepas Liverpool terikat 2-2 ketika bertemu Manchester United di Old Trafford, sebentar tadi.
Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool terlepas peluang untuk menjarakkan jurang mata dengan dua lagi pencabar kejuaraan iaitu Arsenal dan Manchester City.
Baca Juga:
- Pires: Mbappe Patut Ke Liverpool Bukannya Real Madrid
- Pengadil Kontroversi Dipilih Adili Perlawanan Manchester United-Liverpool
- Piala FA: Manchester United Bangkit Singkir Liverpool Dengan Bergaya
Selepas mengharungi 31 perlawanan, Liverpool terikat 71 mata bersama Arsenal tetapi kelab dari London itu memiliki kelebihan perbezaan jaringan untuk menghuni tangga teratas manakala Manchester City di kedudukan ketiga dengan 70 mata.
Manchester United bermula garang dengan jaringan Alejandro Garnacho seawal minit kedua permainan tetapi gol itu dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tersentak dengan tekanan tersebut, Liverpool tampil lebih garang dan mendapat peluang seminit kemudian menerusi Dominik Szoboszlai.
Namun, percubaan jarak dekat ketika hanya berhadapan dengan Andre Onana diselamatkan dengan baik penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Szoboszlai turut mendapat peluang keemasan pada minit ke-18, bagaimanapun pemain tengah itu gagal menyudahkan umpanan lintang baik dilakukan Andrew Robertson.
Kem Liverpool terlebih dahulu melonjak kegembiraan apabila Luis Diaz menolak masuk bola hasil tandukan Darwin Nunez ketika situasi sepakan penjuru pada minit ke-23.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral anak buah Jurgen Klopp yang terus memberikan ancaman ke kubu The Red Devils.Namun, dua percubaan dilancarkan Mohamed Salah digagalkan Onana.
Tiada sebarang percubaan tepat pada separuh masa pertama, Manchester United mendapat ‘rezeki terpijak’ pada minit ke-50 selepas hantaran lemah Jarell Quansah mencari Virgil van Dijk di kawasan sendiri dipatahkan Bruno Fernandes yang terus merembat masuk bola dari jarak jauh ketikan Caoimhim Kelleher sudah keluar dari posisinya.
Gol itu jelas meningkatkan moral pemain United untuk mencari peluang bagi menambah jaringan.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-67 setelah percubaan menarik Kobbie Mainoo dalam kawasan penalti gagal diselamatkan Kelleher untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.
Tekanan diberikan Liverpool memaksa pertahanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka melakukan kesilapan dengan mengasari Harvey Elliot dalam kawasan sendiri sekali gus memaksa Anthony Taylor menghadiahkan sepakan penalti buat The Reds.
Mohamad Salah yang mengambil sepakan pada minit ke-84 tidak berdepan masalah untuk perlawanan berkesudahan dengan terikat 2-2.