Legenda bola sepak, Eric Cantona – yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Perancis dan Manchester United – sekali lagi menyuarakan solidariti buat Palestin.
Ini bukan kali pertama Cantona lantang bersuara dalam isu kemanusiaan tersebut.
Kali ini dia secara terbuka mengutuk induk bola sepak dunia dan Eropah supaya menggantung penyertaan pasukan kebangsaan Israel dan kelab-kelab Israel susulan perang di Gaza.
Bercakap di acara amal Together for Palestine di London, Cantona menegaskan bukan sahaja UEFA dan FIFA perlu menggantung pasukan kebangsaan serta kelab Israel.
Dan menyatakan bahawa pasukan kebangsaan dan kelab seharusnya memboikot untuk bermain menentang negara haram dan kelab mereka.
“Empat hari selepas Rusia melancarkan perang di Ukraine, FIFA dan UEFA segera menggantung Rusia.
“Sekarang sudah 716 hari, di mana menurut Amnesty International apa yang mereka gelar sebagai genosid, tetapi Israel masih dibenarkan beraksi,” kata Cantona.
“Mengapa ada dwi-standard [pilih kasih]?” soal Cantona sambil ketawa kecil.
“FIFA dan UEFA mesti menggantung Israel. Kelab-kelab di seluruh dunia juga harus enggan menentang pasukan Israel, dan para pemain semasa juga mesti enggan bermain menentang pasukan Israel.”
Legenda berusia 59 tahun itu menambah, boikot dalam sukan adalah faktor “kritikal” dalam menamatkan dasar apartheid di Afrika Selatan.
“Sudah tiba masanya semua orang berhenti jadi penonton di tepi padang. Siapa yang akan bersama saya?” tanya Cantona kepada khalayak, yang kemudian membalas dengan tepukan gemuruh.