Legenda Manchester United, Eric Cantona menuduh Sir Jim Ratcliffe ‘memusnahkan’ kelab itu sepanjang tempoh pemilikan minoritinya.
Ketua INEOS itu membeli pegangan 27.7 peratus dalam Red Devils pada Februari 2024 dan diberikan kawalan penuh terhadap operasi bola sepak kelab oleh keluarga Glazer.
Walaupun ramai penyokong menyambut baik perkembangan tersebut, Eric Cantona berpendapat keadaan menjadi semakin buruk.
Terdapat rasa optimis yang sangat tinggi ketika Ratcliffe membeli pegangan dalam Manchester United lebih 18 bulan lalu dan semuanya kelihatan positif selepas kemenangan Piala FA pada musim panas 2024.
Namun pemecatan Erik ten Hag, keputusan tidak menentu penggantinya iaitu Ruben Amorim serta tindakan pembuangan pekerja secara besar-besaran telah membawa kepada kritikan berterusan terhadap bilionair British itu.
Kini, salah seorang pemain terhebat dalam sejarah Red Devils kembali mengkritik Ratcliffe sekali lagi.
Kritikan Pedas Eric Cantona
“Saya ada banyak minat dan projek lain tetapi saya fikir untuk dua atau tiga tahun saya mungkin boleh ketepikan semua itu dan cuba memberi sesuatu kepada kelab ini, kelab yang telah memberikan segala-galanya kepada saya.”
“Tetapi [Ratcliffe] nampaknya tidak berminat. Saya sudah lakukan apa yang saya perlu, jadi saya tidak rasa bersalah lagi. Saya sudah cuba sedaya upaya,” ujar Cantona menurut sumber laporan Goal.
“Sir Alex Ferguson mencipta satu gaya bola sepak menyerang yang indah yang sepatutnya digunakan oleh pemilik baharu. Sebaliknya, mereka telah memusnahkannya.”
“Suasana di dalam stadium kini berbeza, malangnya. Saya pergi ke Old Trafford musim lalu untuk perlawanan menentang Manchester City dan saya rasa suasananya agak sunyi.”
“Penyokong United lebih suka pergi ke perlawanan di tempat lawan untuk bersama penyokong sebenar daripada dikelilingi orang yang datang dari pelbagai negara hanya untuk ke kedai barangan rasmi.”
“Saya menyokong United kerana saya benar-benar sayangkan United tetapi sekarang jika saya seorang peminat dan perlu memilih sebuah kelab, saya rasa saya tidak akan memilih United.”
“Kerana saya tidak rasa dekat dengan jenis keputusan seperti ini. Mereka ada strategi lain, projek lain. Adakah anda rasa dekat dengan projek ini? Saya rasa tidak.”
“Bagi saya, sangat penting untuk menghormati orang seperti anda [para penyokong], menghormati pengurus anda dan rakan sepasukan anda.”
“Tetapi sejak Ratcliffe datang, keadaannya menjadi sebaliknya sepenuhnya dan pasukan pengarah ini kelihatan cuba memusnahkan segala-galanya serta tidak menghormati sesiapa pun.”
“Mereka malah mahu menukar stadium,” tambah Eric Cantona lagi.