Ketua umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir berpendapat kehadiran pemain ternama dunia, Radja Nainggolan bakal memberikan impak positif buat saingan Liga 1.

Seperti dilaporkan sebelum ini, bekas pemain skuad kebangsaan Belgium itu bakal menyarung jersi kelab Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC yang dibimbing Mario Gomez bagi mengharungi baki saingan musim 2023/2024.

Baca Juga:

Bhayangkara FC pada ketika ini nyata amat memerlukan pemain yang mampu mengubah kedudukan mereka yang terdampar di dasar liga dengan hanya 10 mata diraih dalam 20 perlawanan.

Meskipun pernah bersama kelab besar di Itali seperti Inter Milan dan AS Roma, Indonesia jelas cukup dekat dengan pemain tengah itu kerana bapanya berasal dari suku Batak yang terletak di Kepulauan Sumatera.

Faktor itu juga mungkin menjadi antara sebab utama membuatkan Nainggolan berminat untuk beraksi di Indonesia.

Kredit Foto: PSSI

Sehubungan dengan itu, Thohir jelas mengalu-alukan kehadiran pemain yang pernah berada dalam senarai ‘Pasukan Terbaik Serie A’ bagi empat musim berturut-turut tersebut.

“Saya menghargai keputusan Radja Nainggolan [untuk beraksi dalam saingan Liga 1],” ujar Erick Thohir dalam kenyatannya di laman sesawang rasmi PSSI.

“Kehadirannya di Liga 1 pastinya semakin membuatkan liga ini menjadi bertambah baik.”

“Seperti yang sudah berulang kali saya tekankan bahawa kita harus menjadikan Liga Indonesia sebagai liga terbaik di Asia Tenggara yang dikendalikan secara profesional,”

“Tidak boleh ada mengatur perlawanan dan tidak kurang pentingnya semua penonton dan penyokong perlu pulang dengan selamat ke rumah masing-masing,” tambah beliau lagi.

 

Sumber