Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menafikan spekulasi yang mengatakan bekas pengendali Belanda, Frank de Boer bakal menggantikan Partick Kluivert.
Selepas Louis van Gaal menjadi sasaran peminat bola sepak Indonesia, tular nama de Boer pula dikaitkan dengan jawatan kosong ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.
Sehubungan dengan itu, Erick yang kini turut menggalas tanggungjawab selaku Menteri Belia dan Sukan tampil dalam menceritakan keadaan sebenar buat semua berhubung spekulasi tersebut.
Beliau menganggap ia hanya satu spekulasi liar yang membuatkan penyokong Indonesia terpengaruh.
Komen Erick Thohir Tentang Khabar Angin
“Belum ada [jurulatih baharu]. Nah, inilah yang jadi masalah juga. Kita ni sudah dipenuhi khabar angin. Katanya Van Gaal lah, Frank De Boer lah.”
“Itu yang saya maksudkan, ekosistem kita jadi tak sihat sebab media pun turut terpengaruh,” ujar Erick Thohir menurut sumber laporan CNN Indonesia.
“Ya, itulah persepsi yang dibentuk oleh netizen. Padahal belum tentu betul. Contohnya, ‘Van Gaal, Van Gaal!’. Saya cuma ketawa saja, sebab bila dia umumkan pada hari Isnin, rupanya yang diumumkan itu perkara lain.”
“Inilah yang perlu kita perbaiki. Frank de Boer sudah pasti tidak, sebab saya sendiri pun belum hubungi, malah terfikir pun tidak pasal dia.”
“Kita sekarang sedang mencari profil yang sesuai dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan. Kita lihat Shin Tae-yong, kita lihat Patrick [Kluivert], apa kekurangan dan kelebihan mereka.”
“Dan kalau boleh, kita perbaiki pada jurulatih yang seterusnya. Kedua-dua jurulatih itu sudah jadi masa lalu, jadi kita harus maju ke hadapan dan mencari jurulatih baharu,” tambah Erick Thohir lagi.