Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tanpa berselindung mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak mahu kehilangan pemain tengah, Scott McTominay.
Pengakuan tersebut dibuat ten Hag selepas melihat produk lepasan akademi Manchester United itu meninggalkan pasukan untuk menyertai SS Napoli.
Baca Juga:
- Manchester United Mungkin Lepaskan 7 Pemain Ini
- Manchester United Mahu Bina Stadium Berkapasiti 100,000 Tempat Duduk
- Laku Keras, Jersi ‘Away’ Manchester United Pecah Rekod Jualan
Menyertai akademi United sejak berusia lima tahun, McTominay telah membuat 255 penampilan bersama skuad senior The Red Devils.
Musim lalu juga menyaksikan beliau beraksi cemerlang dengan menghasilkan 10 gol serta mencipta tiga bantuan jaringan dalam 43 penampilan di semua pertandingan disertai Manchester United.
Sehubungan dengan itu, ten Hag merasakan pemain berusia 27 tahun tersebut perlu untuk terus kekal menyarung jersi United.
“Saya sangat gembira untuk dia dan bagi kami, tetapi ia satu perasaan yang amat bercampur-campur kerana saya lebih suka untuk tidak kehilangan dia. Dia mempunyai Manchester United dalam nadinya.”
“Dia merupakan seorang pemain yang sangat penting buat pasukan kami, dia sudah berada di Manchester United sejak 22 tahun lalu.”
“Tetapi malangnya ia adalah peraturan. Anda perlu berbincang mengenai peraturan untuk melakukan penjualan pemain dan kebiasaannya pemain tempatan (homegrown), pemain akademi membawa nilai yang lebih tinggi.”
“Ia bukan perkara yang betul untuk dilakukan tetapi untuk semua orang, untuk semua bahagian, ia adalah tawaran yang bagus. Bagi Scott, dia gembira dengannya. Sudah tentu, untuk Napoli, pemain yang sangat bagus tetapi juga untuk kami,” ujar ten Hag menurut sumber laporan Goal.
Awal pagi tadi, SSC Napoli telah mengumumkan secara rasmi kedatangan Scott McTominay sebagai rekrut baharu kelab saingan Serie A itu.